Putin tuduh Ukraine lakukan ‘jenayah perang’
MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menuduh Kyiv melakukan jenayah perang dengan Moscow melakukan ‘semua yang diperlukan’ untuk mengelak kematian orang awam di Ukraine, katanya dalam panggilan dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron.
“Perhatian perlu diberikan kepada pelbagai jenayah perang yang dilakukan setiap hari oleh pasukan keselamatan Ukraine.
“Khususnya serangan roket dan artileri besar-besaran ke atas bandar Donbas,” kata Kremlin mengenai panggilan di antara Putin dan Macron.
Putin memberitahu Macron bahawa tentera Russia ‘melakukan segala yang mungkin untuk melindungi nyawa orang awam, termasuk dengan mengatur koridor kemanusiaan untuk pemindahan penduduk secara selamat.
Dalam panggilan sama yang dibuat hasil ‘inisiatif Perancis’, kedua-dua pemimpin turut membincangkan rundingan berterusan di antara Moscow dan Kyiv untuk menamatkan konflik di Ukraine,
Macron turut memainkan peranan utama dalam percubaan meredakan krisis melalui desakan diplomatik yang telah menyaksikan beliau bercakap dengan Putin secara peribadi atau melalui telefon berbelas kali sejak konflik bermula.
Ketika panggilan terbaru yang berlangsung selama satu jam 10 minit, Macron menyatakan ‘kebimbangan melampaunya’ terhadap nasib pendudukdi Mariupol, bandar pantai selatan yang telah dilanda serangan pengeboman hebat sejak beberapa hari lalu.
Pejabat Macron berkata, beliau menggesa ‘pengepungan dan akses kemanusiaan’ oleh Russia ke bandar itu ditarik semula, dengan ‘langkah konkrit dan boleh disahkan’ untuk memastikan keselamatan penduduk.
Presiden Perancis itu juga ‘sekali lagi menuntut gencatan senjata dilaksanakan segera’ di Ukraine, kata istana rasmi presiden, Istana Elysee. – AFP