‘Kalau fikiran negatif, pakai kebaya pun nampak lucah’
Petaling Jaya: Usahawan kosmetik kontroversi, Liana Rosli atau lebih popular dengan panggilan Kak KM sudah beberapa kali menerima teguran ibunya, pelakon Normah Damanhuri berkenaan perkongsian videonya di Instagram.
Menurut Liana, walaupun ibunya kurang senang dengan video yang dilihat agak sensasi, namun dia melakukannya atas dasar strategi pemasaran produk.
“Video saya memang asyik kena kecam dan mak juga kena tempias sehinggakan beberapa kali dia minta saya berhenti lakukannya tapi saya minta dia bertenang.
“Saya juga minta dia jangan baca komen atau jangan layan media sosial. Emak memang pantau setiap hantaran saya dan selepas itu akan telefon minta padam.
“Jadi saya jelaskan apa yang dibuat adalah urusan kerja dan perniagaan. Saya kata jangan baca komen kerana nanti dia murung,” katanya.
Kak KM berkata, dia pernah menyekat Instagram ibunya namun bertindak membuka semula baru-baru ini.
“Memang emak sentiasa tegur saya setiap hari tapi saya seorang yang degil. Kalau orang nak kata emak tak pandai jaga anak, pergi lantaklah.
“Kalau bagus, jagalah anak dan emak kau baik-baik,” katanya sinis ketika hadir menemani ibunya pada pelancaran filem 3 Janda Menawan Dunia di GSC One Utama, Petaling Jaya, semalam.
Terdahulu, Kak KM sering dikecam warganet kerana paparan video yang melampau di Instagramnya.
Ditanya berkenaan desakan warganet agar penjual produk yang menghasilkan iklan berunsur lucah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998, Kak KM berkata, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Saya hanya jual produk. Kita dengan cara kita sebab yang tular itu produk yang saya jual. Cuma bila terangkan cara penggunaannya itu nampak macam lucah. Kalau orang sentiasa berfikir buruk, pakai kebaya pun orang nampak lucah,” katanya.
METRO