Pelukan tangisan sambut ibu di pintu sempadan

BUKIT KAYU HITAM: “Saya tidak pernah berpisah lama dengan ibu, ini kali pertama kami tidak dapat bertemu selepas ibu pulang ke kampung di Trang, Thailand, tahun lalu,” kata Noorasyikin Bunnawi, 31.

Noorasyikin berkata, ibunya, Siti Zubaidah Abdullah, 62, selama ini tinggal bersama kakaknya di Jitra selepas bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun ibunya terpaksa pulang ke kampung di Thailand pada Oktober tahun lalu, berikutan berlaku urusan kecemasan selain perlu menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.

“Saya tidak sangka dapat bertemu kembali dengan ibu hari ini, walaupun kami tidak bertemu baru kira-kira lima bulan, tetapi perasaannya sudah terlalu lama kerana kami tidak pernah berpisah.

“Alhamdulillah proses perjalanan pulang ibu juga dipermudah, kerana ibu mempunyai dokumen lengkap dan sudah lama menetap di Malaysia,” katanya ketika ditemui di pintu pagar sempadan Malaysia-Thailand.

PERTEMUAN YANG DITUNGGU

Pertemuan dua beranak itu cukup menyentuh perasaan apabila Noorasyikin dapat menjemput dan memeluk ibunya berdekatan pagar sempadan berikutan Siti Zubaidah mempunyai masalah kesihatan.

Noorasyikin berkata, ibunya mempunyai masalah jantung dan dijadual membuat pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 28 April ini.

Sementara itu, Siti Zubaidah berkata, dia terlalu rindukan tiga anak dan lima cucu yang semuanya menetap di negara ini.

“Sebelum ini, saya menumpang tinggal di rumah saudara di kampung dan cuba memohon balik ke Malaysia beberapa kali, tetapi tidak dapat kebenaran.

“Saya memang menunggu saat ini dan berharap sangat dapat menyambut Ramadan bersama anak dan cucu di Malaysia,” katanya yang turut ditemani kakaknya, Pawana Che Wa Abdullah, 67.

BHOnline

Leave a Reply