Jemaah terharu dapat Tarawih di masjid

Jemaah menunaikan solat Tarawih tanpa penjarakan fizikal ketika tinjauan di Masjid Kristal, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu malam ini. Masjid kristal yang kini kembali beroperasi selepas ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih sejak empat tahun lalu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Ramadan tahun ini pastinya lebih bermakna buat umat Islam di seluruh negara, lebih-lebih lagi kepada warga daerah ini apabila mereka dapat berjemaah tanpa penjarakan fizikal mulai malam ini di Masjid Kristal selepas ditutup sejak empat tahun lalu.

Rata-rata jemaah yang ditemui melahirkan rasa gembira dan teruja dapat melepaskan rindu untuk menunaikan ibadat di masjid yang diiktiraf sebagai antara yang tercantik di dunia.

Ahmad Shibra Mullisi Khashiie, 30, dari Kampung Tanjung, berkata kelonggaran yang diberikan kerajaan membenarkan orang ramai mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah Ramadan tahun ini amat dihargai.



“Saya sangat rindu untuk solat Tarawih berjemaah dengan susunan saf yang rapat dan pembukaan semula Masjid Kristal sangat ditunggu umat Islam khususnya di negeri ini.

“Berikutan itu, saya sanggup datang ke sini (Masjid Kristal) walaupun terdapat masjid dan surau di kawasan rumah untuk menunaikan solat Tarawih,” katanya ketika ditemui di perkarangan masjid malam ini.

Seorang lagi jemaah, Mahdi Jusoh, 51, dari Kampung Durian Burong, berkata dia sudah lama menunggu untuk menunaikan solat di Masjid Kristal selepas ditutup sejak empat tahun lalu.

Tinjauan di masjid berkenaan mendapati lebih 400 jemaah memenuhi ruang solat masjid berkenaan yang boleh memuatkan 700 jemaah.



Solat Tarawih di masjid berkenaan diimamkan empat imam jemputan masing-masing dua dari Yaman dan Mesir.

Sementara itu di Port Dickson, Pengerusi Surau AlHijrah, Bandar Springhill, Port Dickson, Ramli Ismail, berkata jemaah surau itu bersyukur kerana lebih ramai dapat datang berjemaah selaras kebenaran saf dirapatkan.

Jemaah memenuhi ruang solat bagi menunaikan solat Terawih tanpa perlu penjarakan fizikal berikutan Kerajaan mengumumkan Fasa Peralihan Ke Endemik di Masjid Negeri, Seremban hari ini. - foto BERNAMA (2022)

“Ramadan sebelum ini rasa sepi saja kerana terpaksa akur dengan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan akibat COVID-19. Kali ini, semua jemaah teruja malah sejak seminggu lalu ramai yang bersama-sama membuat persiapan dengan melakukan gotong-royong di surau,” katanya.



BERNAMA pula melaporkan bahawa ruang solat di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur yang berkapasiti 3,000 orang tanpa penjarakan fizikal dipenuhi jemaah yang menunaikan solat tarawih malam ini manakala di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pula kelihatan jemaah warga asing turut tidak melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah itu.

Sebahagian jemaah menunaikan solat sunat Tarawih secara rapat saf di Masjid Arrahman Alor Merah, Alor Setar malam ini. - fotoBERNAMA

Di PAHANG, kakitangan awam Shazli Sufi Che Unik, 33, tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat tarawih malam ini bersama keluarga di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Perkampungan Cenderawasih, Kuantan.

“Tahun sebelum ini, saya dan keluarga solat di rumah sahaja tapi kali ini kami teruja untuk ke masjid bersama-sama mengimarahkan Ramadan namun saya berharap jemaah sentiasa mengenakan pelitup muka dengan betul bagi mengekang jangkitan COVID-19,” katanya.

Di Masjid Arau PERLIS, seorang jemaah Aiman Haikal Nasiruddin, 39, berkata walaupun terdapat kelonggaran, beliau sentiasa mengingatkan keluarganya untuk terus memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sewaktu menunaikan solat tarawih di masjid bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.



Tinjauan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, SABAH pula mendapati kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat tarawih malam ini dan pihak masjid turut membuat pengumuman tentang SOP yang perlu dipatuhi sebelum solat bermula.

Di PUTRAJAYA, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima kira-kira 1,500 jemaah dari kawasan sekitar dan solat tarawih malam ini dipimpin oleh Imam dari Algeria Syeikh Mohamed Chourana.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Mohd Hisyarullil Md Husain berkata setiap hari, tujuh pegawai dan kakitangan masjid yang bertugas akan memastikan jemaah mematuhi SOP ditetapkan semasa menunaikan solat tarawih.

Tinjauan di Masjid Mukim Kenor di Kuala Krai, KELANTAN pula mendapati kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat tarawih dengan mematuhi SOP ditetapkan meskipun hujan lebat sejak petang.



Di Masjid Abdullah Fahim di Kepala Batas, PULAU PINANG pula menyaksikan ibu bapa membawa anak masing-masing untuk menunaikan solat tarawih selepas negeri itu membenarkan kanak-kanak di bawah usia 12 hadir bersama penjaga yang telah lengkap vaksinasi untuk solat berjemaah di masjid atau surau.

Di Masjid Setia Alam di Shah Alam, SELANGOR, jemaah mula memenuhi ruang solat sekitar 8.30 malam untuk menunaikan solat isyak seterusnya solat tarawih manakala di Masjid Zahir di Alor Setar, KEDAH terdapat jemaah yang hadir seawal 7 malam bagi menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button