Bantuan Khas Kewangan hadiah sambutan Hari Guru

HULU BERNAM: Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri yang diumumkan kerajaan, semalam, bukan saja dapat meringankan beban penjawat awam pada musim perayaan ini, tetapi juga disifatkan sebagai hadiah sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei depan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustafa Kamal Husin, berkata pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu sudah tentu memberi khabar gembira kepada penjawat awam, termasuk guru di seluruh negara.

“Guru perlu bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang prihatin dalam memastikan semua golongan rakyat di negara ini dapat menikmati hasil kemakmuran negara.



“Berbelanjalah secara berhemat, termasuk membuat perancangan, sempena sambutan Aidilfitri supaya tidak dibebani hutang selepas perayaan nanti,” katanya kepada BH.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Ismail Sabri berkata, bayaran itu juga akan diberikan kepada kakitangan bawah skim kontrak perkhidmatan dan kontrak atas perkhidmatan serta pegawai atas lantikan bawah program MySTEP.

Sambil berterima kasih atas keprihatinan kerajaan itu, Mustafa Kamal berkata, bantuan berkenaan sekali gus boleh disifatkan sebagai hadiah kepada guru yang memainkan peranan penting dalam usaha mencapai aspirasi Kementerian Pendidikan.



“Selain itu, ketika negara sedang dalam fasa peralihan ke endemik kini, golongan guru diharap akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button