21,588 anak penyu jenis agar dilepaskan

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan sebanyak 21,588 anak penyu jenis agar yang berjaya ditetaskan dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata program pelepasan di perairan negeri ini dilakukan secara berperingkat sepanjang tahun dengan harapan suatu hari nanti reptilia berkenaan akan datang semula ke pantai berkenaan untuk bertelur.

Beliau berkata, jumlah anak penyu yang dilepaskan ke perairan negeri ini tidak menentu setiap tahun bergantung kepada jumlah telur berjaya dikumpul, sebagai contoh tahun lalu sebanyak 23,317 anak penyu dilepaskan berbanding 7,720 pada 2020.



Katanya, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini terbabit sepenuhnya dalam aktiviti mengumpul, menetas dan melepaskan penyu yang ditemui di pesisir Pantai Cherating.

“Dalam tempoh 11 bulan tahun ini kita berjaya mengumpul sebanyak 29,969 telur penyu agar berbanding 31,152 tahun lalu dan 12,267 pada 2020. Jumlah terbanyak telur yang dikumpul ialah pada 2016 sebanyak 54,112.

“Penyu banyak mendarat untuk bertelur di sepanjang pesisir pantai Cherating, kini terdapat juga penyu bertelur di Kampung Tulai dan Kampung Juara di Pulau Tioman,” katanya pada Program Kesedaran dan Pemuliharaan Penyu Serta Pelepasan Anak Penyu Ke Laut di PKPP Cherating, semalam.



Program berkenaan disertai kira-kira 100 kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora. Sebanyak 700 anak penyu dilepaskan.

Abdullah menambah, dalam tempoh 10 bulan tahun ini kira-kira 18,400 pelancong datang ke PKPP Cherating, berbanding antara 50,000 hingga 90,000 pelancong setahun sebelum ini. Mereka datang untuk melihat penyu dewasa, pameran, tayangan video dan membeli cenderahati.

Beliau berkata, jabatan akan terus menjalankan aktiviti serta program kesedaran mengenai kepentingan perlindungan terhadap spesies penyu yang kini terancam.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak sekolah mengadakan kem kesedaran bagi memupuk tanggungjawab untuk mengekalkan penyu di negeri ini dengan menumpukan terhadap kempen tidak membuang sampah ke laut dan sungai.



“Sampah seperti plastik menjadi antara pembunuh senyap penyu, reptilia berkenaan makan plastik yang disangkakanya ampai-ampai yang menjadi makanan utamanya,” katanya yang akan terus mempromosikan PKPP Cherating sebagai antara produk pelancongan terkenal di negeri ini.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading