Cabar Anwar jika prestasi PKR pada PRU-15 buruk
KUALA LUMPUR: Kedudukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dicabar jika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak tidak berpihak kepada parti itu.
Veteran PKR, Dr Syed Husin Ali, berkata ketika ini, beliau melihat kedudukan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) masih kukuh, menjelang pemilihan parti itu bulan depan dan majoriti anggota masih mahukan Anwar mengemudi PKR.
Syed Husin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, mengakui prestasi buruk PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, baru-baru ini, namun katanya, perubahan mungkin berlaku pada PRU-15.
“Prestasi di tiga PRN itu memang buruk, namun belum tentu lagi bagaimana nanti di PRU-15
“Selepas keputusan PRU-15 kelak, jika buruk juga, saya rasa baru perlu kedudukannya (Anwar) sebagai pemimpin PH dicabar.
“Ketika ini, majoriti anggota masih mahu beliau terus sebagai Presiden dan saya tidak nampak sesiapa yang hendak mencabar kedudukannya,” katanya kepada BH, hari ini.
Ditanya mengenai persaingan antara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden, Syed Husin berkata, kedua-dua pemimpin itu memiliki kekuatan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, kriteria yang amat perlu bagi seorang Timbalan Presiden adalah mampu membantu Presiden dengan berkesan dalam menyatupadukan dan menguatkan parti dari segi ideologi serta organisasi.
“Selain itu, beliau harus komited dan berusaha kuat untuk membela nasib rakyat serta membantu mereka mengatasi masalah sosioekonomi yang dihadapi sekarang,” katanya.
Pada masa sama, Syed Husin menasihatkan anggota PKR yang akan mengundi supaya meneliti sendiri segala kelemahan dan kekuatan setiap calon.
“Anggota perlu mengambil kira apakah sumbangan dan pembelaan yang dapat diberikannya kepada parti serta rakyat.
“Elak daripada mengikuti sahaja pujukan dan pengaruh orang lain,” katanya