Tidak digalakkan kahwin sepupu sendiri

Oleh – Syeikh Baran


Tidak digalakkan kahwin sepupu sendiri
GAMBAR HIASAN

Perkahwinan antara sepupu walaupun harus di sisi syarak adalah tidak digalakkan kerana boleh meningkatkan risiko penyakit turun temurun.

Menurut pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan, kajian menunjukkan kanak-kanak daripada perkahwinan sepupu pertama mempunyai risiko empat hingga enam peratus untuk mengalami gangguan genetik resesif autosomal.



“Dari sudut agama, perkahwinan sesama sepupu adalah harus di sisi syarak kerana ia tidak termasuk dalam kalangan mahram.

“Tetapi, syarak menggalakkan supaya bernikah dengan wanita asing kerana zuriat dan keturunan yang dilahirkan lebih sihat dan kuat.

“Jadi kenapa saya tidak menggalakkan perkahwinan dengan sepupu kerana kita dan sepupu berkongsi genetik yang sangat dekat,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X.

Menurut Dr. Ahmad Samhan, persamaan genetik tersebut meningkatkan kemungkinan anak yang bakal dilahirkan mendapat penyakit keturunan.



“Jika terdapat sejarah penyakit turun temurun dalam keluarga, perkahwinan sepupu boleh meningkatkan risiko untuk mewarisi dan menyebarkan penyakit tersebut.

“Contoh penyakit genetik resesif autosomal adalah talasemia, cystic fibrosis, dan spinal muscular atrophy,” katanya.

Oleh itu, Dr. Ahmad Samhan menasihatkan orang ramai agar mengelakkan berkahwin dengan sepupu sendiri.

“Saya galakkan untuk kahwin dengan mereka yang tiada pertalian keluarga dengan kita.



“Kanak-kanak daripada sepupu yang lebih jauh, mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami gangguan ini, walaupun masih lebih tinggi daripada purata populasi,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button