Polis kesan kumpulan lelaki main meriam

Bukit Mertajam: Polis mengesan sekumpulan lelaki yang bermain meriam karbaid di tepi jalan raya hingga kegiatan mereka itu tular, di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis maklum dengan satu klip video tular berdurasi dua minit 20 saat yang dimuat naik oleh pemilik halaman Twitter ‘Malaysia Most Virall’.

Menurutnya, video itu memaparkan kegiatan sekumpulan lelaki dipercayai bermain meriam karbaid di tepi jalan raya hingga dikatakan mendatangkan gangguan bising terhadap penduduk setempat.



“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Permatang Rawa, di sini dan polis kini menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam video terbabit.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak bermain mercun atau meriam meriam karbaid sempena perayaan Aidilfitri kerana ia suatu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu klip video yang tular itu kelihatan gelagat beberapa orang lelaki di satu deretan rumah kedai yang sedang seronok bermain meriam jenis itu tanpa menghiraukan keselamatan orang lain.



Kumpulan itu kemudian didapati menghalakan meriam buatan mereka ke jalan raya sebelum satu letupan kuat dihasilkan.

Perbuatan itu mendapat kecaman netizen kerana bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadan.

Ia dikatakan memberi ancaman kepada pengguna jalan raya di situ terutamanya warga emas apabila mungkin akan terkejut selepas mendengar dentuman kuat akibat kegiatan tidak bertanggungjawab berkenaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button