Abang Johan menangis sebab ramai yang membantu.

Seremban: “Abang Johan menangis bila baca kisahnya dalam portal Harian Metro semalam,” kata isteri pelakon ‘Mat Saleh’ atau Johan Abdullah, Sarepah Meriam Aboo. 49.

Menurut Sarepah, ramai yang menghubungi mereka untuk membantu membayar sewa dan deposit masuk ke rumah baru.

“Kami tak sangka, ramai yang simpati dengan nasib abang Johan yang sedang sakit angin ahmar dan Parkinson. Ramai yang hubungi kami untuk membantu.



“Apabila perkara ini dimaklumkan kepada abang Johan, dia menangis kerana tidak berhasrat menyusahkan orang lain yang bersimpati dengan nasibnya,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Sarepah berkata, pagi tadi ada seorang wanita yang hanya dikenali ‘Puan Su’ dari Sungai Petani, Kedah menghubunginya.

“Dia beritahu nak bagi duit deposit rumah dan sewa untuk beberapa bulan. (Puan Su) minta cakap je (saja) berapa jumlah diperlukan,” katanya.

Katanya, suaminya tidak menyangka ramai yang tampil menyatakan hasrat untuk membantu mereka sekeluarga.



“Abang Johan kata dia bukanlah pelakon terkenal pun tetapi ramai nak bantu,” katanya.

Tambahnya, pemilik rumah didiami mereka kini sudah memberi kelonggaran untuk tinggal hingga hujung tahun ini.

“Sudah lama kami tinggal di sini, hampir 14 tahun. Jika saya ada rezeki Allah bagi, saya memang nak beli rumah ini, harap ada rezeki nanti.

“Moga Allah beri kami kesembuhan, kekuatan dan ketabahan hati hadapi kesulitan ini kerana ia tidak dijangka abang Johan diserang angin ahmar,” katanya yang juga menghidap penyakit tiroid dan ‘slipped disc’ (cakera teranjak).



Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya sudah menyumbang sebuah basikal kepada keluarga berkenaan.

“Insya-Allah, petang ini basikal itu akan dihantar untuk digunakan anak lelaki mereka, Abdullah Musa, 11, dan Orchid Raihani, 6. Boleh pergi mengaji al-Quran dan ke kelas tambahan.

“Kami berharap agar NGO atau orang perseorangan lain tampil membantu keluarga ini bagi meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh hubungi Sarepah di talian 013-312 6721.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button