PM Britain guna isu imigran elak kritikan langgar kuarantin
LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini dikatakan cuba mengalih perhatian kepada isu pendatang tanpa izin untuk mengatasi desakan kemarahan supaya dirinya meletak jawatan selepas didenda kerana melanggar peraturan kuarantin kendiri COVID-19.
Johnson didenda di bawah peraturan diperkenalkan kerajaannya kelmarin, kerana menghadiri perhimpunan di pejabat Downing Street untuk sambutan hari lahirnya pada Jun 2020.
Ahli politik pembangkang berkata, ia kali pertama seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat melanggar undang-undang dan menuntut Johnson untuk berhenti.
Bagaimanapun, Johnson menolak desakan itu dan pengkritik dalam Parti Konservatifnya sendiri berkata, krisis di Ukraine adalah masa yang salah untuk menggantikannya.
Dalam ucapan hari ini, beliau akan cuba mengalihkan tumpuan kepada menyasarkan pendatang tanpa izin, isu hangat sejak bertahun-tahun dan ia turut membantu kempen untuk Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Pejabatnya berkata, Johnson akan mengumumkan rancangan untuk menangani kumpulan penyeludup manusia dan meningkatkan operasi British di Selat.
Tahun lalu sahaja, lebih 28,000 pendatang dan pelarian menyeberang dari Eropah ke Britain dengan kebanyakannya menaiki bot kecil.
Katanya, Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel juga akan mengumumkan butiran ‘perkongsian penghijrahan dan pembangunan ekonomi yang pertama di dunia’ dengan Rwanda.
“Sebelum Krismas, 27 orang mati lemas dan dalam minggu-minggu hadapan mungkin lebih ramai lagi kehilangan nyawa mereka di laut, malah mayat mereka mungkin tidak akan pernah ditemui.
“Kira-kira 600 orang menyeberang Channel semalam. Hanya dalam beberapa minggu ini ia boleh mencapai 1,000 sehari,” katanya.
Beliau turut bersetuju menerima pendatang itu mencari kehidupan lebih baik, tetapi impian mereka dieksploitasi oleh penyeludup manusia yang keji.
“Jadi sepertimana Brexit membenarkan kami mengambil semula kawalan imigresen yang sah dengan menggantikan pergerakan bebas dengan sistem berasaskan mata kami, kami juga mengambil semula kawalan pendatang haram, dengan rancangan jangka panjang untuk suaka di negara ini,” katanya.
Sebelum ini cadangan supaya tentera laut British menghalau pulang bot ditolak oleh pihak tentera, selain turut melihat kepada usaha menempatkan pencari suaka di pelantar minyak tidak digunakan, atau di negara seperti Moldova, Papua New Guinea dan wilayah luar negara terpencil di selatan Atlantik.
AGENSI