Rindu air tangan ‘Mama’
Kota Tinggi: Jika tahun lalu, masih ada lagi kasih insan bergelar mama buat empat beradik dari Felda Air Tawar 2 di sini, sebagai pengubat kerinduan selepas kematian bapa akibat sakit jantung tiga tahun lalu.
Namun, Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi sepi buat anak yatim piatu, Nur Athirah Zahirah Hailhalim, 14, dan tiga adiknya Nur Aimi Zamia, 12, Nur Asyikin Zulaika,11, Nur Aisyah Zafirah, 5.
Apabila mama mereka, Zalipah, 40, meninggal dunia pada 7 September lalu, akibat jangkitan Covid-19 selepas ditidurkan susulan bacaan oksigen menurun ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Kini mereka hanya menumpang kasih bapa saudara, Mohd Nazir Nordin, 47, yang juga abang kepada arwah mama, menjadi sinar baru buat mereka.
Nur Athirah Zahirah berkata, dia dan adik-adiknya amat merindui mama terutama air tangan masakannya.
Katanya, mama gemar memasak masakan istimewa seperti nasi ayam dan rendang ketika menyambut bulan Ramadan dan Syawal.
“Bulan puasa kali ini sudah tidak seronok seperti dulu. Kalau dulu mama selalu masak awal, hari pertama puasa, mama akan masak sedap-sedap, masak kuih.
“Paling rindu masakan nasi ayam dan rendang mama. Kami sangat rindukan mama.
“Biasa malam raya main bunga api, tapi kami rasa malam raya ini tidak seronok sangat sebab mama tidak ada dengan kami. Alhamdulillah, Pak Tam (bapa saudara) ada menjaga kami adik beradik,” katanya ketika ditemui di rumah pusaka neneknya di Felda Air Tawar 2 di sini.
Sementara itu, bapa saudara, Mohd Nazir menyifatkan empat beradik ini sebagai anugerah paling bernilai buat dirinya.
Katanya, biarpun dihimpit dengan kesusahan, dia sedaya upaya akan menunaikan keinginan dan kelengkapan anak saudaranya.
“Setakat mampu mereka hendak makan apa, saya cuba cari dan tunaikan hajat mereka. Alhamdulillah, apa yang mereka mahu (makan) saya tunaikan. Tidak pernah rasa terbeban, malah rasa bersyukur.
“Saya anggap mereka macam anak saya sendiri, ketika arwah ayah dan mama mereka ada memang kami rapat. Saya pun ada anak seorang, kehadiran mereka umpama rezeki berganda buat saya.
“Insya-Allah, saya akan menjaga amanah ini sebaik mungkin, mereka semua anak-anak yang baik,” katanya.
METRO