Tiga pengunjung maut pusat karaoke terbakar

Alor Setar: Tiga pelanggan pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong di sini, maut manakala lapan lagi terselamat apabila bangunan dua tingkat itu terbakar, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 10.19 pagi.

Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan Alor Setar tiba sejurus selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.



“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat seramai 11 orang berada dalam premis pusat hiburan terbabit, namun lapan daripadanya sempat menyelamatkan diri.

“Tiga pelanggan berkenaan gagal dikesan dan dipercayai terperangkap di sebelum mereka ditemui mati di dalam dua bilik tingkat bawah premis terbabit.

“Mangsa pertama dikenali sebagai Mark Barry, 32, ditemui dalam bilik VIP 1 jam 11.30 pagi manakala seorang mangsa wanita, Kim Mei Kit, 32, dan mangsa lelaki, Jeffry Tan Yan Wei, 30, ditemui dalam bilik VIP 2 tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Syufaat berkata, kesemua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.



Katanya, kesemua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Syufaat berkata, selepas disahkan oleh pengurus pusat karaoke itu yang tiada lagi mangsa, operasi mencari dan menyelamat dihentikan.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mencari mangsa disebabkan terdapat banyak bilik karaoke serta bilik rahsia dalam pusat hiburan itu.

“Pada mulanya anggota kita sudah masuk melakukan pemeriksaan dalam premis itu pada jam 10.30 pagi namun disebabkan asap dan sebagainya, kita gagal mengesan mangsa.



“Namun dengan bantuan pengurus pusat karaoke itu, kita berjaya mengesan semua mangsa di dua bilik VIP di tingkat bawah bangunan itu,” katanya.

Syufaat berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai mati akibat lemas dalam asap kerana terdapat asap, jelaga di mulut dan hidung.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading