Peniaga jual kuih-muih 20 sen percaya pada rezeki

Bentong: Kenaikan harga barang tidak dijadikan alasan oleh peniaga kuih-muih di Jalan Karak-Temerloh, di sini, untuk turut menaikkan harga sebaliknya masih menjual kuih pada harga 20 sen.

Muhd Haqim Mohamad, 27, berkata dia bersama isterinya, Syahaida Sobri, 26, tidak mengambil keuntungan berganda sebaliknya bersyukur dapat beramal sambil berniaga.

Menurutnya, mereka mengusahakan perniagaan kuih-muih sejak dua tahun lalu selepas diberhentikan kerja sebagai jurutera di Cyberjaya, Selangor ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



“Bermulanya gerai kuih 20 sen ini disebabkan saya kehilangan kerja dan ketika itu saya merasai kesusahannya.

“Daripada situlah saya mendapat ilham untuk membuat gerai kuih 20 sen supaya golongan atasan dan golongan bawahan semua dapat merasainya,” katanya.

Menurutnya, walaupun dia berniaga kerana mencari rezeki, tetapi niat utama adalah untuk memberi lebih ramai orang dapat merasa kuih jualan mereka.

“Rezeki kita ada di mana-mana, meskipun menjual pada harga yang murah tetapi kualiti kuih-muih tetap dijaga.



“Sepanjang Ramadan ini, saya bersama isteri menjual pelbagai jenis kuih antaranya karipap, cucur badak, kuih kasturi, donat dan pau goreng.

“Lebih 1,000 biji karipap, pau goreng dan cucur badak dijual setiap hari, manakala kuih lain sekitar 400 hingga 500 biji sehari,” katanya yang membuka gerai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Bentong, di sini.

Katanya, dia tetap bersyukur walaupun keuntungan diperolehi kecil tetapi ia dapat menampung perbelanjaan keluarganya.

Sementara itu, pembeli, Rauf Deraman berkata, dia memuji usaha yang dilakukan pasangan berkenaan dan perlu menjadi contoh kepada peniaga lain.



“Saya mulanya agak terkejut melihat harga yang dipaparkan pada kain rentang dan mendorong saya untuk melihat dari dekat .

“Harganya memang murah dan kuih pun saya tengok puas hati, tak lah kecik sangat, oklah,” katanya.

Bagi Nur Alisha Nisha Olivia Abdullah, dia mendapat tahu mengenai gerai itu apabila ia tular di laman sosial Facebook kerarna menjual kuih dengan harga 20 sen.

“Pada mulanya saya tidak percaya. Mana ada kuih dijual pada harga 20 sen pada zaman sekarang apatah lagi setiap hari kita dengar tentang kenaikan harga barang.



“Tetapi pasangan ini membuktikan ia boleh dijual murah walaupun hanya mendapat untung yang sedikit sahaja,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button