Presiden Fila Filipina ditemukan meninggal dunia
SINGAPURA: Seorang ahli perniagaan wanita Filipina terkenal ditemukan meninggal dunia di Hotel The Fullerton Bay, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Maricris Abad Santos Albert, 52, lebih dikenali sebagai Cris Albert, adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Fila Filipina, dan sudah menerajui syarikat pakaian sukan itu sejak 2007.
Ibu kepada dua anak itu juga adalah Presiden Isport Life dan Athlete’s Gym & Dive, dan pengasas MA Holdings.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu di 80 Collyer Quay kira-kira jam 1.05 pagi Sabtu lalu.
Albert ditemui terbaring tidak bergerak di tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik.
Jurucakap pihak berkuasa berkata polis sedang menyiasatnya sebagai kes kematian luar biasa, lapor The Straits Times.
Fila Filipina mengesahkan kematiannya dalam catatan Facebook semalam (25 April).
“Keluarganya meminta orang ramai untuk menghormati privasi kerana mereka bersedih pada masa kehilangan yang besar ini. Butiran kematiannya akan dikongsi tidak lama lagi,” tambahnya.
Kenyataan itu ditandatangani oleh keluarga Abad Santos dan Albert.
Albert dilaporkan berada di Singapura bagi menghadiri satu majlis di Hotel The Fullerton Bay pada petang Jumaat lalu.
Berita kematiannya menjadi trend dalam kalangan masyarakat Filipina, terutama di media sosial.
Mendiang adalah seorang tokoh terkemuka dalam komuniti dan dibesarkan dalam kalangan industri fesyen.
Menurut laman web Fila Philippines, ibunya ialah Wanda Louwallien, bekas supermodel dan koreografer pertunjukan.
Halaman bio Albert di laman web mengatakan dia menyertai Fila sebagai pengurus pemasaran pada tahun 1992, selepas menamatkan pengajian dengan ijazah sarjana muda dalam pemasaran.
AGENSI