Hukuman gantung warga Malaysia terbabit kes dadah

SINGAPURA: Warga Malaysia yang didapati bersalah kerana mengedar dadah dihukum gantung di Singapura pagi tadi selepas usaha terakhir mencabar hukuman terbabit oleh ibunya gagal.

Tertuduh, Nagaenthran Dharmalingam, 34, menjalani hukuman terbabit selepas pelbagai usaha peringkat antarabangsa untuk mendapatkan pengampunan gagal.

Nagaenthran, dijatuhi hukuman gantung lebih sedekad lalu bagi kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 44 gram (g) memasuki Singapura, yang melaksanakan antara hukuman terberat di dunia bagi kesalahan berkaitan dadah.



Suspek ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu didapati dilekatkan di paha kirinya.

Abang mendiang, Navin Kumar, 22, mengesahkan melalui telefon bahawa hukuman terhadap abangnya sudah dijalankan dan mayatnya akan dikebumikan di Ipoh.

Antara lain, bilionair Britain, Richard Branson, sebelum ini turut menggesa kerajaan Singapura supaya tidak ‘menggadaikan nyawa’ seorang rakyat Malaysia yang mengalami masalah ketidakupayaan mental dengan pelaksanaan hukuman mati.

Pengasas Kumpulan Virgin itu berkata, hukuman terbabit adalah sangat ‘mengerikan’ dan boleh menjejaskan reputasi negara itu.



Menerusi temuramah secara panggilan video bersama AFP, Branson yang sudah berjuang sejak sekian lama menentang hukuman mati, menggesa Presiden Singapura, Halimah Yacob, memberikan pengampunan kepada Nagaenthran.

Halimah mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan yang adalah peluang terakhir Nagaenthran untuk diselamatkan selepas selesai menjalani semua proses rayuan di mahkamah.

Pelaksanaan hukuman gantung itu mencetuskan kecaman antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) yang menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai kejam dan tidak berkesan untuk penghalang jenayah dadah.

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading