‘Cari masa lain, ini hari raya tuan IGP’ – Zaid Ibrahim
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mencari masa lain untuk menahan pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau atau saman tertunggak berkaitan kesalahan trafik, bukannya ketika musim perayaan.
Gesaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim itu susulan pengumuman PDRM pada Selasa lalu yang akan menahan pengguna jalan raya dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei depan.
Menerusi Twitter hari ini, Zaid mempersoalkan tindakan PDRM yang merancang gerakan berkenaan ketika musim perayaan.
“Setiap kali musim perayaan, apabila pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan yang teruk, ketika itu polis membuat sekatan jalan.
“Berapa banyak lagikah hukuman yang mesti dihadapi pengguna ini? Tidak bolehkan saman mereka di pos atau cari masa lain untuk menahan mereka? Ini hari raya tuan IGP (Ketua Polis Negara),” tulisnya.
Selasa lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dipetik berkata, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.
Katanya lagi, polis akan mengoptimumkan penggunaan alat pengesanan had laju ‘In-Car Radar’ di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat itu.
BHOnline