Duda anak satu berdepan hukuman gantung

MARANG: Seorang duda anak satu berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 13.2 kilogram (kg) dan 555.20 gram (g), minggu lalu.

Aziz Said, 55, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 13.2 kg dan 555.2 g.



Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong, di sini, jam 12.50 tengah malam pada 18 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menyalahgunakan dadah jenis methamphetamine di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, jam 4 pagi pada 18 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB 1952.



Mahkamah menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengedar dadah bertindak memasang kamera litar tertutup untuk memantau kawasan rumah bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Menerusi serbuan Op Jihad Dadah 2.0/Op Tapis Khas 3.0 itu, sepasukan pegawai dan anggota polis berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button