JDT kembali cerahkan peluang mara aksi ACL
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melonjak ke tangga kedua Kumpulan I selepas menewaskan Guangzhou FC dari China 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga menghidupkan peluang JDT untuk memburu slot ke pusingan 16 pasukan namun perlu melepasi halangan yang berliku dengan syarat harus menang ke atas juara ACL 2022, Ulsan Hyundai yang kini memimpin kumpulan itu pada aksi terakhir, Sabtu ini
Asakan berterusan JDT sebaik babak pertama bermula memberi pulangan buat skuad kendalian Benjamin Mora apabila tindakan pemain pertahanan Guangzhou FC mengkasari Bergson Da Silva di dalam kotak penalti pada minit ke-16 menyaksikan pengadil dari Iran, Payam Heidar menghadiahkan sepakan penalti.
Bergson yang mengambil sepakan itu merembat tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol Zhang Jihao untuk JDT mendahului 1-0.
Bergson terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-32 selepas bola tandukannya sipi selepas menerima bola umpanan Syahmi Safari yang hanya singgah di palang gol ketika Jihao sudah tertewas.
Walaupun menguasai permainan JDT masih gagal melakukan penyudah tepat terutama pada minit ke-44 selepas bola lorongan Ariff Aiman Hanapi menyaksikan Akhyar Rashid yang sepatutnya mudah menolak ke gawang terbuka luas tapi menyepak bola tinggi dan mudah nuat Jihao menangkap kemas.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak ke kubu anak didik Pan Yong He namun tampak sukar menembusi benteng kelab dari China itu yang mempratikkan corak permainan kompak di bahagian pertahanan.
Pemain pertahanan JDT, Carli De Murga memiliki peluang menambah jaringan pada minit ke-63 selepas bola sepakan sudut Ariff Aiman tepat kepada pemain import dari Filipina itu namun bola tandukannya hanya sipi dari gawang gol.
Ketika aksi di penghujung tindakan Chen Kun yang mengasari pemain gantian, Ramadhan Saifullah di dalam kotak penalti menyaksikan Payam menghadiahkan sepakan penalti dan Bergson mencetak gol kedua peribadi untuk memastikan JDT menang 2-0 pada perlawanan itu.
Sementara itu, Ulsan Hyundai berjaya mengetepikan cabaran Kawasaki Frontale 3-2 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin petang tadi.
Skuad kendalian Hong Myung-bo mempamerkan aksi luar biasa selepas membuka tirai jaringan menerusi gol Leanardo Nascimento pada minit ke-14 dan disusuli jaringan Um Wong-sang selang enam minit kemudian dan diikuti jaringan Valeri Qazaishvili pada minit ke-47.
Kawasaki Frontale cuba bangkit dengan dua jaringan Leandro Damiao Santos pada minit ke-40 dan minit akhir perlawanan namun masih belum mampu untuk menidakkan kemenangan kelab dari Korea Selatan itu.
Keputusan:
Ulsan Hyundai 3 – 2 Kawasaki Frontale
Guangzhou FC 0 – 2 JDT
BHOnline