Geseran ketika jentolak lupus mercun punca letupan

Kuala Lumpur: Sebanyak 18 kereta dan dua lori barang kes terbakar dalam kejadian letupan di tapak pelupusan mercun semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini jumlah sebenar kerugian masih belum ditaksirkan dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Katanya, polis percaya kejadian berpunca daripada geseran ketika jentolak digunakan untuk melupuskan barang kes menyebabkan letupan itu berlaku.



“Apabila jentolak melupuskan barang kes atau mercun, mungkin berlaku sedikit pergeseran dengan tanah atau pasir menyebabkan haba.

“Bila ia (barang kes) dikumpulkan di dalam tong roro, haba itu mungkin membakar secara perlahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Katanya, pihaknya menerima tujuh laporan polis berkaitan kerosakan pada rumah penduduk di kawasan sekitar.

“Ada yang rumah mengalami kerosakan pada cermin tingkap, ada yang bumbung pecah namun tidak menyebabkan kecederaan kepada penghuni,” katanya.



Beliau berkata, kerja pelupusan mercun dan bunga api itu dijalankan di atas perintah mahkamah, iaitu dilupuskan dengan cara digelek dengan jentolak dan siraman air.

Menurutnya, polis juga meminta bantuan pihak bomba untuk menyiram semua barang kes sebelum kerja-kerja pelupusan dijalankan.

Katanya, Pusat Kawalan IPD Sentul menerima panggilan daripada orang awam melaporkan kejadian letupan berlaku di dalam kawasan stor.

“Saya ingin membuat sedikit pembetulan, saya dapati berita yang dikeluarkan semalam menyatakan kejadian letupan berlaku di dalam Balai Polis Sentul.



“Sebenarnya ia berlaku di stor barang kes yang terletak kira-kira dua kilometer dari IPD Sentul. Ia adalah bangunan tinggalan balai lama, jadi tidak ada barang mustahak di situ, hanya digunakan khusus untuk meletakkan barang kes kenderaan sama ada jenayah dadah atau jenayah komersial,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 untuk membantu siasatan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button