Identiti pemandu rentung belum dikenal pasti

JITRA: Identiti pemandu Proton Persona yang rentung selepas kereta itu terbakar dalam kemalangan di simpang Kampung Nongka, Napoh, malam tadi, belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata proses untuk mengesan identiti mangsa sedang dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada jam 11.50 malam yang memaklumkan berlaku nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dengan kereta Proton Persona di lokasi terbabit.



“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Toyota Vellfire, Ahmad Iyyash Shahrulazmi, 22, tahun dari Telok Panglima Garang, Banting, membawa keluarganya dalam perjalanan dari Kaki Bukit, Perlis, pulang ke Selangor melalui jalan Kampung Napoh.

“Setiba di Kilometer 19.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), pemandu kenderaan itu membelok ke kanan menghala ke Alor Setar (arah selatan).

“Bagaimanapun, sebuah kereta Proton Persona yang sedang bergerak dari Changlun menghala ke Alor Setar dipercayai tidak sempat brek lalu terlanggar bahagian tepi sebelah kiri Toyota Vellfire itu,” katanya.

Rodzi berkata, akibat perlanggaran itu, Toyota Vellfire berkenaan terbalik, manakala Proton Persona pula terbabas ke kiri jalan dan terbakar.



Beliau berkata, pemandu Proton Persona berkenaan dipercayai tersepit dan disahkan rentung di tempat kejadian.

Katanya, pemandu dan penumpang Toyota Vellfire yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.

“Penumpang hadapan Toyota Vellfire, Ahmad Aqqal Shahrulazmi, 19, sakit di belakang badan dan luka pipi kiri. Penumpang belakang yang juga ibu mereka, Suhaila Habin, 46 (guru), patah tulang rusuk kiri, luka di dahi dan lengan kiri, manakala bapa, Shahrulazmi Sidek, 46, tidak cedera.

“Selain itu, Ummu Qays Shahrulazmi, 5, bengkak di dahi belah kiri, manakala Ummu Unays Shahrulazmi, 14, dan Ahmad Qassam Shahrulazmi, 18, sakit badan,” katanya.



Setakat ini, Rodzi berkata, pihaknya masih mengesan waris pemandu Proton Persona itu untuk pengecaman mangsa, dan meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dikatakan sempat meminta tolong sebelum maut apabila Proton Persona dipandunya terbakar selepas kemalangan di kawasan Hosba, di sini, malam tadi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button