Unit Dron PDRM bantu lancarkan aliran trafik
KUALA LUMPUR: Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara yang turut terbabit dalam memastikan kelancaran aliran trafik semasa musim perayaan khususnya dalam Op Selamat 18 ini.
Pegawai dan anggota Unit Dron PGU ini menjalankan tugas pemantauan dari udara di lokasi panas yang dijangkakan akan mengalami kesesakan.
Tumpuan utama pemantauan oleh Unit Dron ini merangkumi lebuh raya, jalan bandaran dan jalan persekutuan di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pelaksanaan tugas Unit Dron ini diatur gerak bersama Jabatan
Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, dalam Op Selamat.
“Teknologi dron memberikan impak positif dalam JSPT memantau secara ‘real time’ untuk mengambil tindakan segera terutamanya jika berlaku sebarang halangan di lebuh raya yang merisikokan pengguna jalan raya lain.
“Maklumat hasil pemantauan oleh Unit Dron membolehkan elemen PDRM khususnya JSPT dapat digerakkan di lapangan bagi memastikan beban aliran trafik dikurangkan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Acryl berkata, JSPT akan meneruskan kerjasama dengan Unit Dron dalam usaha PDRM memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran trafik.
“Jika sebelum ini khususnya sebelum pandemik COVID-19, pemantauan kesesakan semasa musim perayaan oleh JSPT sering dibantu oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) menggunakan helikopter namun pada masa ini, PDRM memberikan nilai tambah dalam pelaksanaan tugasnya iaitu menggunakan Unit Dron demi keselamatan semua masyarakat di negara ini.
“Fokus utamanya adalah membantu memberikan input kepada pegawai dan anggota PDRM di bawah (daratan), bukannya untuk mengambil tindakan mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas, namun setiap kesalahan dikesan dari udara akan segera dimaklumkan kepada semua elemen PDRM yang paling terdekat di darat.
BHOnline