Kes Datuk Seri Najib – Saksi buat andaian sendiri

KUALA LUMPUR: Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, terdapat satu bentuk ‘ugutan’ daripada Datuk Seri Najib Razak ketika mengarahkan firma audit itu menutup dan menandatangani laporan audit penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi 2013.

Johan yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pada sesi pemeriksaan semula, berkata demikian ketika ditanya mengenai mesyuarat pada malam 15 Disember 2013 antara KPMG, 1MDB dan Najib di kediaman bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta.

Johan adalah satu-satunya wakil KPMG yang dibenarkan masuk ke rumah Najib pada malam itu, manakala kakitangan KPMG yang lain diarahkan menunggu di luar.

KPMG ketika itu belum menandatangani laporan audit 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013, kerana syarikat pelaburan strategik negara itu tidak memberikan maklumat yang diminta KPMG sejak April 2013.

Sri Ram yang merujuk kepada prosiding terdahulu yang mana saksi ketika menjawab soalan peguam bela, mengesahkan melalui Minit Mesyuarat menunjukkan Najib tidak memberikan sebarang tekanan kepada KPMG untuk menandatangani dokumen berkenaan.

Disoal oleh Sri Ram sama ada beliau menerima sebarang tekanan pada pertemuan itu, Johan menjawab, “saya menyifatkannya sebagai satu bentuk ugutan (untuk menutup dan menandatangani laporan audit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013).

Ketika ditanya daripada siapa ugutan itu, saksi ke-14 pendakwaan itu berkata, “daripada Najib.”

Pada peringkat itu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib membantah soalan berkenaan kerana perkataan ‘ugutan’ tidak timbul dalam mana-mana jawapan Johan ketika disoal balas sebelum ini.

Bagaimanapun, Sri Ram menegaskan pihak pembelaan tidak boleh menghalang saksi daripada menjawab soalan daripada sudut pandangannya.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan peguam bela mengemukakan isu terbabit dalam hujahannya.

Terdahulu, Wan Aizuddin mencadangkan kepada Johan bahawa dakwaan penyelewengan oleh pengurusan 1MDB akan terbongkar jika KPMG menjalankan auditnya ke atas 1MDB dengan betul sepanjang tiga tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012, namun Johan berkata, pihaknya sentiasa menjalankan audit dengan betul.

Sementara itu, Johan tidak bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa KPMG bertindak secara sistematik terhadap pengurusan 1MDB dengan menutup mata terhadap transaksi mengelirukan sehingga membenarkan wang 1MDB disalahgunakan.

Johan mengesahkan KPMG juga tidak menerima satu sen pun daripada wang yang diseleweng 1MDB.

Dalam keterangan sebelum ini, Johan berkata, dalam pertemuan di kediamannya itu, Najib memaklumkan kepada KPMG bahawa 1MDB tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan syarikat itu di Brazen Sky Limited kerana ia adalah sulit.

Menurut saksi, Najib turut mempersoalkan mengapa KPMG masih menimbulkan syak terhadap underlying assets (aset asas) pelaburan berkenaan.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Brazen Sky Ltd adalah syarikat perantara tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya untuk menghantar pulang wang pelaburan oleh 1MDB.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung petang ini.

BHOnline

Leave a Reply