KJ dengar luahan doktor pelatih Hospital Selayang

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pagi tadi sempat meluangkan masa bertemu doktor pelatih di Hospital Selayang bagi mendengar pengalaman mereka.

Khairy menerusi hantaran di Twitter memaklumkan banyak perkara diluahkan oleh doktor pelatih terbabit sebelum memulakan tugas jam 6 pagi tadi.

“Mendengar pengalaman doktor pelatih pagi ini sebelum mereka memulakan ’rounds’ mereka pada jam 6 pagi di Hospital Selayang.



“Banyak perkara yang diluahkan kepada saya. Ada jabatan yang mempunyai ‘work environment’ (persekitaran kerja) yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” tulisnya.

Khairy juga berkata, persekitaran di tempat kerja mesti mempunyai rasa hormat, sokongan dan pemerkasaan.

“Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital2 @KKMPutrajaya. Zaman dahulu dan zaman sekarang lain.

“Work environment (persekitaran tempat kerja) mesti ada respect , support & empowering (hormat, sokong, pemerkasaan). Bukan abusive & humiliating (hina dan memalukan),” katanya.



Beliau turut memaklumkan akan mengumumkan ahli jawatankuasa petugas bebas yang diberi masa dua bulan untuk menyiasat kes buli kalangan doktor pelatih petang ini.

“Petang nanti saya umumkan anggota pasukan petugas bebas yang diberi masa dua bulan untuk siasat budaya kerja di hospital-hospital @KKMPutrajaya dan isu buli dan membuat syor untuk memperbaiki keadaan ‘work culture’ KKM,” katanya.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut bertindak untuk meneliti dakwaan budaya buli yang berlaku antara doktor dan doktor pelatih di hospital awam.



BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button