Terlalu tertekan, cuba terjun jambatan

CHUKAI: Wanita yang dipercayai dalam keadaan tertekan dan cuba terjun dari Jambatan Geliga dekat sini diselamatkan malam tadi.

Wanita berusia 30-an itu dikatakan memanjat pagar jambatan terbabit sebelum perbuatannya disedari pengguna jalan raya jam 7.40 malam.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kemaman, Mohd Hasbulah Hanafiah, berkata wanita terbabit datang ke jambatan terbabit dengan menaiki sebuah kereta.



“Kami menerima panggilan jam 7.42 petang dan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami dapati wanita itu berdiri atas paip air besar untuk terjun ke sungai Kemaman pada ketinggian 15 meter,” katanya.

Mohd Hasbulah berkata, bomba dan anggota polis berusaha menenangkan dan memujuk mangsa, yang mengambil masa hampir sejam sebelum wanita itu berjaya diselamatkan.

“Pihak kami menggunakan peralatan menyelamat seperti tali dan abah-abah (body harness) sebagai langkah keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Alhamdulillah usaha memujuk wanita itu berhasil dan dia dibawa ke tempat selamat jam 8.30 malam,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button