Rachel buat kem gimnastik tersenyum

Hanoi: Ia satu kelegaan buat jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Wai selepas Rachel Yeoh berjaya meraih emas dalam acara batang titian semalam.

Menurut Shu Wai, Rachel bukan saja menghadiahkan satu emas buat pasukan gimnastik artistik negara malah dua termasuk dalam acara palang bertingkat sebelum ini sekali gus menjadi penutup penuh bermakna semalam.

“Dia membuktikan mampu menggalas tanggungjawab walaupun sebelum ini berdepan dengan kecederaan lutut yang serius,” kata Shu Wai di Gimnasium Quan Ngua semalam.



Shu Wai yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 mengakui ia satu yang melegakan apabila dapat menunggu kehadiran Rachel selepas kehilangan ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi.

“Sebelum datang sini saya kurang yakin sebenarnya tetapi apa yang ditunjukkan Rachel adalah satu kejutan. Dia pernah cedera kedua-dua lutut dan tidak berlatih selama dua tahun tetapi hari pertama dia turun bersama kami, ia buat saya tersenyum.

“Saya nampak potensi dan kesungguhan dia, jadi saya sudah buat perancangan untuk dia menyerlah dalam pertandingan yang disertai. Secara keseluruhan saya gembira dengan persembahan gimnas negara pada Sukan Sea kali ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan skuad gimnastik artistik negara selepas ini, Shu Wai menjelaskan bahawa mereka akan berehat sementara sebelum kembali menjalani latihan untuk persiapan ke temasya seterusnya.



“Kita akan berehat dan berlatih semula, perancangan itu ada tapi pertandingan seterusnya belum pasti. Kalau dapat ke Sukan Komanwel atau tidak belum tahu tetapi jika tidak ke sana maka kita dapat berehat.

“Saya mahu fokuskan kepada persediaan Sukan Sea tahun depan dan juga Sukan Asia. Saya nampak Rachel ada potensi untuk memberikan sesuatu di sana (Sukan Asia).

“Dalam kepala saya juga sudah ada beberapa nama gimnas baharu yang akan dilatih untuk persediaan tahun depan tetapi saya perlu bincang dahulu dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan yang lain,” jelasnya.

Tambahnya, mengenai sasaran melayakkan gimnas negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Shu Wai mengakui beliau mempunyai perancangan berkenaan.



“Ada perancangan tetapi kita tunggu dan lihat,” jelasnya ringkas yang menyaksikan skuad gimnastik lelaki menyumbang satu perak dan satu gangsa menerusi Tan Fu Jie dalam acara kuda berpelana dan gangsa dimenangi Muhammad Sharul Aimy Kamarul.

Selepas acara gimnastik artistik melabuhkan tirai semalam, tumpuan akan beralih kepada gimrama esok di gelanggang yang sama.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button