Cubaan usahakan kebun haram Musang King digagalkan
Jerantut: Impian individu untuk mengusaha kebun durian Musang King secara haram di kawasan tanah kerajaan di Sungai Rengat Mukim Ulu Cheka di sini, tidak menjadi kenyataan apabila terlebih dahulu dikesan pihak berkuasa.
Kegiatannya itu dikesan hasil intipan yang dilakukan anggota Unit Penguat Kuasa Barat (UPKB) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada kelmarin.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP Shahril Mohamad berkata, ketika serbuan dilakukan pihaknya menemui seorang lelaki berusia 57 tahun yang sedang membersihkan kawasan hutan terbabit menggunakan jengkaut warna biru muda.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan yang dibersihkan seluas kira-kira 30 hektar merupakan tanah kerajaan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jerantut Tambahan.
“Siasatan mendapati individu yang terbabit dengan kegiatan berkenaan turut menebang beberapa pokok balak, kita menemui 18 tual balak spesies meranti dan sesenduk yang sedia untuk dipindahkan.
“Difahamkan, kawasan berkenaan diteroka untuk dijadikan kebun durian Musang King dan tanaman kontan lain oleh seorang individu tempatan,” katanya dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut membuat semakan kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Shahril berkata, pihaknya bertindak menyita jengkaut dan balak yang ditemui di kawasan terbabit, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut kini memantau jentera dan balak.
“Kita akan memastikan kegiatan menceroboh kawasan hutan simpan dan tanah kerajaan di negeri ini tidak terus berlaku.
“Tindakan tegas menanti individu yang melakukan kesalahan menceroboh hutan simpan mengikut Akta Perhutanan Negeri 1984,” katanya yang berharap masyarakat dapat bekerjasama memberi maklumat kegiatan menceroboh hutan secara haram.
METRO