Barcelona dilapor berminat dapatkan Lewandowski
BERLIN: Ejen Robert Lewandowski, Pini Zahavi dengan jelas menyatakan bahawa penyerang Poland itu mahu meninggalkan Bayern Munich, di tengah-tengah laporan mendakwa Barcelona sudah membuat tawaran.
“Bagi Robert, perkara sangat jelas, dia mahu meninggalkan FC Bayern musim panas ini,” kata Zahavi kepada media Jerman, Bild.
Lewandowski sudah memaklumkan dia mahu meninggalkan Bayern, ketika kontraknya berbaki setahun dengan Barcelona dilaporkan menawarkan 32 juta euro (RM150 juta) untuk menandatangani pemain berusia 33 tahun itu.
Zahavi memberi amaran kepada Bayern: “Sudah tentu mereka boleh mengekalkan Robert selama setahun lagi, untuk bersikap adil dia mempunyai kontrak sehingga 2023.
“Tetapi saya tidak akan mengesyorkannya kepada mereka. Bagi Robert Lewandowski, FC Bayern adalah sejarah.”
Lewandowski yang juga pemenang Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA, sudah memenangi setiap gelaran yang ada sejak menyertai Bayern pada 2014, termasuk lapan trofi Bundesliga daripada jumlah keseluruhan 10 yang dimenangi selain dua bersama bekas kelab, Dortmund.
Dia juga memenangi Liga Juara-Juara bersama Bayern pada 2020.
Lewandowski adalah penjaring terbanyak dalam Bundesliga musim lalu untuk tahun kelima berturut-turut selepas menjaringkan 35 gol dalam liga utama Jerman.
AFP