Britney Spears seronok jadi ‘penulis hantu’

Oleh – Syeikh Baran


Britney Spears seronok jadi 'penulis hantu'
Spears nekad enggan kembali kepada industri muzik, tiba masa mencari diri sendiri dan tidak lagi mengikut telunjuk orang. – Foto AGENSI

 Populariti dan kekayaan bukanlah jaminan kebahagiaan. Biarpun memiliki segala-galanya, kehidupan bintang pop kontroversi, Britney Spears tak ubah seperti dalam neraka.

Mengecap populariti pada usia 16 tahun apabila single Baby One More Time muncul hits, Spears tidak dapat mengecap hidup seperti remaja seusianya yang lain.

Sebaliknya, penyanyi seksi itu dikongkong dan kawal ketat oleh bapanya sehinggakan mengalami tekanan perasaan dan beberapa kali dikejarkan ke hospital.



Selain dikongkong, tekanan mental dialaminya juga dikatakan berpunca keretakan rumah tangga bersama bekas suaminya, Kevin Federline sehingga Spears turut hilang hak penjagaan ke atas dua cahaya mata.

Disebabkan masalah kesihatan mental yang dialami penyanyi berusia 42 pada 2008, mahkamah memerintahkan bapanya menjadi pelindung konsevator iaitu individu yang bertanggungjawab menguruskan hartanah, kewangan dan kehidupan penyanyi itu.

Sejak hak pelindung konservator tamat pada 2021 iaitu selepas 13 tahun berada di bawah perlindungan bapanya, Spears nekad enggan kembali kepada industri muzik.

“Kerjaya muzik bukan lagi menjadi fokus saya. Ini adalah masanya untuk saya mencari kehidupan spiritual dan memberi perhatian kepada perkara kecil dan memperlahankan rentak.



Britney Spears seronok jadi 'penulis hantu'
Spears tidak lagi berminat menghasilkan album, malah menganggap khabar angin yang tersebar sebagai sampah. – Foto AGENSI

“Tiba masanya saya mencari diri sendiri dan tidak lagi mengikut telunjuk orang,” ujarnya.

Baru-baru ini, Spears sekali lagi menegaskan tidak berminat untuk merakamkan album, semuanya gara-gara laporan mengatakannya bakal muncul dengan album baharu, tidak lama lagi.

Mendakwa khabar angin sebagai ‘sampah’, Spears menegaskan, dia kini seronok bergelar ‘penulis hantu’ dan berkolaborasi dengan penyanyi lain.

“Saya ingin jelaskan laporan mengatakan saya akan tampil dengan album baharu sebagai sampah,” tulisnya dalam hantaran Instagram.



Ia berikutan beberapa laporan mengatakan Spears bakal bekerjasama dengan Charli XCX dan beberapa komposer untuk album baharu.

“Mereka asyik mengatakan saya bekerjasama dengan orang yang rawak untuk album baharu. Saya takkan sesekali kembali kepada industri muzik.

“Saya menulis sekadar seronok-seronok dan hasilkan karya untuk orang lain. Banyak yang anda tidak tahu mengenai saya walaupun sudah membaca buku saya.

“Saya sudah menulis lebih 20 lagu untuk penyanyi lain dalam tempoh dua tahun. Saya ‘penulis hantu’ dan saya seronok dengan jalan yang dipilih sekarang,” tulisnya.



Terdahulu, Spears muat naik entri mengenai perkahwinan ketiga dengan jejaka pilihan hati, Sam Asghari pada majlis tertutup di kediamannya di Thousand Oaks, California, tahun lalu.

Bagaimanapun, Spears dan Asghari dilaporkan berpisah dan memfailkan perceraian hanya selepas setahun mendirikan rumah tangga. – AGENSI

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button