Lebuh Raya Pan Borneo dipercepat selesai isu jalan rosak

KOTA KINABALU: Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah di antara Batu 32 Sandakan dengan Telupid dipercepatkan bagi menggantikan jalan raya sedia ada yang mengalami kerosakan demi kepentingan pengguna.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid, berkata tiga pakej pembinaan Lebuh raya Pan Borneo di laluan berkenaan dengan jarak sepanjang 58 kilometer dijadual siap sepenuhnya pada 2025.

Beliau berkata, kontraktor bagi ketiga-tiga pakej itu sudah dimaklumkan bagi mempercepatkan penyiapan kerja pembinaan dua daripada empat lorong bagi lebuh raya berkenaan dalam tempoh 18 bulan sebelum beralih ke dua lagi lorong selebihnya.



Katanya, pembaikan kerosakan jalan raya sedia ada tidak berbaloi kerana ia tidak dapat dilaksanakan dengan kaedah penyelenggaraan biasa atau tampalan memandangkan keadaan jalan yang sudah melangkaui jangka hayat.

“Jalan raya sedia ada di laluan berkenaan sudah melangkaui jangka hayat dan bagi jalan raya seperti ini proses penyelenggaraan secara tampalan kurang berkesan selain peruntukan yang ada juga terhad. Sebaliknya ia perlu dibina semula dan itu menyebabkan kos yang tinggi.

“Sebab itu kerajaan Persekutuan meluluskan segera tiga pakej pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan ini. Sekarang kontraktor sudah sedia maklum untuk menyiapkan segera laluan sebelah dalam tempoh 18 bulan.

“Jalan sebelah lagi akan dibina selepas dua lorong itu siap bagi melengkapkan jalan empat lorong dua hala bagi lebuh raya itu dalam masa tiga tahun,” katanya dalam temubual berkaitan masalah kerosakan jalan raya di Sabah secara dalam talian melalui saluran YouTube, semalam.



Penjelasan itu bagi menjawab rungutan pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati terhadap keadaan jalan raya yang mengalami kerosakan hingga ada menyifatkannya seperti permukaan bulan terutama di laluan Sandakan – Telupid yang menjadi penghubung utama di antara pantai timur dengan pantai barat Sabah.

Berikutan itu, Ali Ahmad meminta kerjasama pengguna jalan raya, khususnya di laluan antara Batu 32 Sandakan dengan Telupid supaya dapat bersabar sementara menunggu separuh daripada laluan baharu Lebuh raya Pan Borneo siap dalam tempoh 18 bulan.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta pemandu sentiasa mematuhi arahan lalu lintas termasuk had laju yang ditetapkan di kawasan pembinaan bagi mengelak kemalangan atau sebarang kejadian tidak diingini.

“Had laju bagi kawasan pembinaan ialah 60 kilometer sejam untuk mengelak kemalangan dan masalah lain. Kita juga akan usahakan untuk menambah papan tanda dan lampu jalan.



“Jadi kita berharap pengguna boleh bersabar dalam setahun dua tahun ini sementara kita percepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerja penyelenggaraan di laluan sedia ada tetap dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan lebuh raya berkenaan menggunakan peruntukan yang ada.

Beliau turut mengingatkan pihak konsesi dan jurutera JKR daerah agar bertindak proaktif memantau keadaan jalan raya di lokasi yang kerap berlaku kerosakan bagi memastikan ia cepat dibaiki demi kepentingan pengguna.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button