‘Mak, saya minta maaf banyak-banyak’
Georgetown: “Mak, nak minta maaf banyak-banyak, saya nak pergi hantar serai ni.”
Itu kata Muhammad Amirrudin Azizan, 19, kepada ibunya, sebelum keluarga terbabit menerima khabar duka kematian anak keenam daripada tujuh beradik itu yang terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, Muhammad Amirrudin bersama sepupunya, Mohd Fazrol Maarof, 39, kedua-duanya dari Kampung Pajak Baling, Kedah, maut selepas lori membawa muatan serai seberat tiga tan yang dinaiki melanggar sebuah treler yang berhenti di atas jambatan berkenaan.
Bapa mangsa, Azizan Ishak, 62, berkata, anaknya sudah dua tahun bekerja sebagai penghantar serai milik sebuah syarikat ke Pulau Pinang dengan menaiki lori yang dipandu Mohd Fazrol.
“Biasanya dia keluar dari rumah jam 1 pagi, tetapi hari ini sebelum bertolak, dia bersalam dengan ibu (Saerah Salleh, 53) serta meminta maaf namun ibunya tidak mengesyaki apa-apa.
“Entah kenapa hari ini saya rasa tidak sedap hati dan tidak dapat berniaga ayam di pasar, sebelum ke kedai kopi berhampiran untuk minum kira-kira 7 pagi.
“Tiba di kedai, rakan memberitahu dia terima maklumat melalui WhatsApp mengenai seorang lelaki terbabit kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, beralamat di Kampung Pajak, sebelum menyedari mangsa adalah anak saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Azizan berkata, Muhammad Amirrudin seorang anak yang rajin dan mengutamakan solat serta menjadi penghibur dalam keluarga.
Katanya, Muhammad Amirrudin bekerja keras kerana mahu mengumpul wang bagi membaiki motosikalnya untuk kegunaan harian.
“Kelmarin, dia beritahu ibunya sudah lama tiada kematian (di kampung itu) dan hendak menggali kubur, tidak sangka rupa-rupanya dia yang hendak ‘pergi’.
“Sudah tiada lagi penghibur dalam keluarga, saya reda dengan ketentuan-Nya dan kedua-dua jenazah dijangka disemadikan malam ini di tanah perkuburan berhampiran Kampung Pajak selepas selesai bedah siasat, ” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah.
METRO