Tambat ringgit heret negara ke dalam krisis kewangan

KUALA LUMPUR: Langkah menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) jika dilaksanakan pada masa ini boleh menjerumuskan negara ke dalam krisis kewangan dan ekonomi, demikian kata pakar industri.

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Sukhdave Singh, berkata menambat tukaran asing bukan satu keputusan yang harus dipandang ringan kerana ia mempunyai akibat yang ketara kepada ekonomi dan pasaran kewangan negara.

Beliau berkata, apabila tambatan ringgit dilaksanakan, negara perlu pertahankan tambatan itu, yang mana memerlukan sistem kewangan dan bank pusat memenuhi semua permintaan terhadap dolar AS pada kadar tukaran tambatan berkenaan.



Jelasnya, jika permintaan itu tidak dapat dipenuhi, pasaran gelap untuk dolar AS akan berkembang, yang mana menjejaskan tambatan rasmi.

Katanya, spekulator juga akan menguji tambatan kadar pertukaran, sementara pemastautin dan bukan pemastautin akan mencari pelbagai cara untuk pertaruhan melawan tambatan.

“Dalam semua kes, bank pusat perlu menyokong tambatan dengan campur tangan rizab mata wang asingnya. Jadi, lebih baik ia mempunyai banyak rizab kerana ia memerlukannya untuk pertahankan tambatan.

“Bagi mengatasi masalah ini, ketika Krisis Kewangan Asia (AFC), kita tidak hanya berhenti di tambatan. Kita juga memperkenalkan kawalan modal untuk mengehadkan aliran keluar modal oleh pemastautin dan bukan pemastautin.



“Kita juga terpaksa mengambil pelbagai langkah lain untuk menangani spekulasi dan pelarian modal, termasuk pemberhentian penggunaan wang kertas RM500 dan RM1,000. Semua ini mudah dilupakan oleh mereka yang kini menyeru kepada tambatan ringgit,” katanya dalam nukilan di akaun LinkedIn rasminya.

Sukhdev menjelaskan, tambatan yang dilakukan sebelum ini hanya mampan kerana negara mempunyai lebihan akaun semasa yang besar pasca 1998, berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit yang mendadak serta permintaan kukuh untuk eksport dari seluruh dunia, khususnya negara maju.

Beliau berkata, tanpa lebihan akaun semasa yang kukuh menyediakan aliran masuk mata wang asing, adalah diragui bahawa Malaysia akan dapat mengekalkan tambatan sepanjang tempoh ia dilaksanakan (tujuh tahun).

“Jadi, bagi mereka yang menyeru tambatan mata wang, saya katakan berhati-hati mengenai apa yang anda hajatkan. Jika bank pusat mempunyai rizab yang mencukupi sekarang, menambat ringgit berkemungkinan membawa kepada penghakisan rizab (melainkan kita sekali lagi menggunakan kawalan modal).



“Jika Malaysia tidak berada dalam krisis sekarang, menambat kadar tukaran berpotensi mendorongnya berlaku,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan tambatan mata wang yang dilaksanakan semasa Krisis Kewangan Asia 1997 dalam menangani ketidaktentuan ketara nilai ringgit dalam pasaran pertukaran asing.

Dr Mahathir berkata, ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19 menjadikan perkara itu wajar dipertimbangkan untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit.

Malaysia melaksanakan tambatan ringgit RM3.80 berbanding dolar AS pada 1 September 1998 dan kemudian memansuhkannya pada Julai 2005.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button