1,178 kes baharu jangkitan HFMD di Kedah

Alor Setar: Kedah mencatatkan sebanyak 1,178 kes baharu jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sepanjang minggu lalu, yang menyebabkan empat pusat pendidikan awal kanak-kanak ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah terbabit dicatatkan sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi ke-21 iaitu bagi tempoh antara 22 hingga 28 Mei.

Katanya, jumlah kes HFMD pada Minggu Epidemiologi ke-21 meningkat sebanyak 388 kes berbanding 790 pada minggu sebelumnya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Kedah kini adalah sebanyak 3,403 kes.

“Lima kluster baharu dilaporkan membabitkan satu tadika, satu taska dan tiga pra-sekolah. Sebanyak empat premis berkaitan turut diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan telah diberikan rawatan pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 785 kes, diikuti Kubang Pasu dengan 494 kes, Kulim (451 kes) dan Kota Setar (380 kes).

“Sebanyak 45 kluster HFMD dilaporkan setakat ini dengan 44 daripadanya berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika dan prasekolah. Sejumlah 43 premis diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan pencegahan jangkitan.

“Pengusaha dan pengurusan pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak digesa untuk melakukan pemeriksaan dan saringan di pintu masuk pusat pendidikan selain mencuci alat permainan, lantai premis dan tandas sekurang-kurangnya dua kali sehari dan selepas tamat sesi,” katanya.

METRO

Leave a Reply