Adam Norrodin meraih pentas podium ARRC

KUALA LUMPUR: Pelumba ONEXOX BMW TKKR Team, Adam Norrodin meraih pentas podium sulungnya dalam saingan ASB1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini sekali gus menjadikan keputusan itu sebagai satu pembakar semangat buat dirinya untuk mengharungi Pusingan 3 di Jepun, Ogos ini.

Adam berjaya menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang dengan berada di tempat ketiga dan keputusan itu secara tidak langsung memperlihatkan dirinya semakin serasi dengan jentera BMW S1000 RR.

“Ini satu permulaan buat kami dan pastinya akan ada lagi yang lebih baik pada masa akan datang,” kata bekas pelumba yang pernah beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 itu.



Selepas dua pusingan dan empat perlumbaan, Adam kini berada di tangga keenam dalam carta keseluruhan dengan 44 mata manakala rakan senegara yang mewakili pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Zaqhwan Zaidi mendahului saingan kelas perdana berkenaan, 78 mata.

Zaqhwan terus konsisten berada dalam kelompok penamat kelima terbaik dengan mengakhiri kedua-dua perlumbaan di Sepang masing-masing di tempat keempat dan kedua selepas memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Buriram Thailand, Mac lalu dan kedua di Perlumbaan 2.

Keputusan dalam keempat-empat perlumbaan itu meletakkan Zaqhwan berada di puncak carta keseluruhan ketika ini namun hanya dibezakan empat mata dengan pelumba SDG Motor Sports HARC-PRO Ph, Haruki Noguchi yang memenangi Perlumbaan 2 Pusingan 2 di Sepang, semalam.



Tentunya, kebangkitan Adam dan Noguchi harus tidak dipandang ringan Zaqhwan sekiranya pelumba berusia 26 tahun itu mahu meraih gelaran juara keseluruhan yang turut diintai rakan senegara lain seperti Kasma Daniel Kasmayuddin (YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN) yang memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 2 di Sepang pada Sabtu lalu.

Pusingan 3 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sportsland Sugo, Jepun sebelum saingan musim ini beralih ke Litar Antarabangsa Zhuhai China dari 9 hingga 11 September.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button