Harga kereta dijangka naik 10 peratus bulan depan

KUALA LUMPUR: Harga kereta dijangka meningkat sehingga 10 peratus jika kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berakhir hujung bulan ini.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata peningkatan harga kereta bermula bulan depan tidak dapat dielakkan memandangkan insentif ‘cuti cukai’ yang diberikan kerajaan itu membolehkan rakyat menikmati harga lebih rendah.

Malah, katanya, insentif yang mula dinikmati sejak Jun 2020 itu bukan hanya membantu rakyat memiliki kereta pada harga lebih rendah, malah membantu melonjakkan permintaan, sekali gus menyokong industri automotif yang bergelut sepanjang tempoh pandemik.



“Pasaran automotif (dijangka) akan menyaksikan kenaikan harga kereta 10 peratus bagi model CKD, manakala model import sepenuhnya (CBU) pula sekitar lima peratus jika pengecualian cukai yang masih berlangsung ketika ini tidak lagi dilanjutkan.

“Untuk rekod, majoriti 90 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah model CKD dengan baki 10 peratus lagi CBU. Bermakna, kesan kenaikan lebih besar akan dihadapi oleh majoriti pembeli kenderaan,” katanya kepada BH.

Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis CKD dan CBU diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU.



Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

Pada 31 Mei 2021, kerajaan sekali lagi bersetuju melanjutkan pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2021.

Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, selain meringankan beban rakyat.

Mengulas lanjut, Aishah berkata, MAA masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung keputusan sama ada melanjutkan atau menamatkan insentif pengecualian SST ke atas kenderaan penumpang.



Katanya, persatuan itu menggariskan beberapa justifikasi untuk dipertimbangkan oleh kerajaan seterusnya membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan industri automotif.

“Kami belum mendapat maklum balas daripada MOF. Namun, kita mengharapkan pengecualian ini dapat dilanjutkan untuk tempoh tertentu berdasarkan beberapa faktor.

“Pertama, kita mahu rakyat terus menikmati harga yang rendah memandangkan tempahan tertunggak tinggi ketika ini dan pengeluar berdepan dengan isu stok.

“Kedua, industri automotif masih berdepan dengan isu kekurangan cip komputer menyebabkan pengeluaran kenderaan berdepan cabaran. Masalah ini sudah pasti menjejaskan tempoh penghantaran kenderaan yang telah ditempah oleh pembeli. Ketika ini tempoh menunggu agak lama dan ada sesetengah model melebihi enam bulan.



“Isu cip, meskipun penggunaan cip komputer dalam industri automotif kecil jika dibandingkan dengan industri elektrik dan elektronik, namun ia memberi kesan besar yang menyebabkan pengeluaran kenderaan tidak lengkap dan tergendala,” katanya.

Berikutan langkah kerajaan melanjutkan pengecualian SST sejak Jun 2020, TIV berada pada 529,514 unit pada 2020, sebelum menurun sedikit kepada 508,911 unit setahun kemudian.

Tahun ini, MAA menjangkakan TIV melonjak kepada 600,000 unit, sebelum terus meningkat 7.5 peratus kepada 645,000 unit pada 2023.

Sementara itu, berhubung dasar pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais baharu yang mungkin berkuat kuasa tahun depan, Aishah berkata, perbincangan dengan MOF masih berjalan dan ketika ini kementerian itu masih menilai permintaan daripada MAA.



“MOF menunjukkan ‘rasa simpati’ dan hasil perbincangan bersama MAA, ada output positif dan wujud kemungkinan polisi lama akan dikekalkan,” katanya.

Sebelum ini, MAA mendedahkan harga kereta CKD termasuk jenama nasional berpotensi meningkat lapan hingga 20 peratus sekiranya pengiraan OMV duti eksais baharu dikuatkuasakan tahun hadapan.

Harga baharu kenderaan CKD yang lebih tinggi tidak dapat dielakkan, jika kerajaan berhasrat melaksanakan kadar pengiraan baharu yang memasukkan lain-lain kos pembuatan ke dalam duti eksais bermula 2023.

Mac lalu, MAA telah mengemukakan cadangan kepada MOF untuk menilai semula struktur baharu yang dilihat akan membebankan pengguna dan menjejaskan daya saing pasaran automotif tempatan.



Pengiraan baru duti eksais Malaysia disediakan oleh MOF semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan telah diwartakan pada 31 Disember 2019.

Struktur pengiraan baharu yang akan dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKRM) itu ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung tahun ini, namun jika ia tidak dinilai semula, pastinya akan memberi kesan kepada penawaran harga kenderaan CKD.

OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dipasang dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button