Sungai Pendang terus catat paras bahaya

Pendang: Paras air di Sungai Pendang terus mencatatkan peningkatan sehingga mencecah 2.93 meter iaitu paras bahaya disebabkan hujan berterusan dari malam hingga awal pagi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, sehingga jam 8 pagi hari ini, tujuh kampung di daerah ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana dikhuatiri banjir berikutan paras air sungai yang semakin meningkat.

Beliau berkata, antara kampung terbabit adalah Belakang Balai Bomba Sukarela Pendang, Kampung Sukamari, Kampung Seberang, Kampung Banggol Kambing, Kampung Titi Kera, Kampung Alor Ali dan Kampung Banggol Besi.

“Hasil pemantauan mendapati paras air sungai di kawasan berkenaan sudah melebihi tebing sungai dan sawah.

“Setakat ini hanya tiga rumah yang terjejas iaitu satu di Kampung Sukamari dan dua lagi di Kampung Banggol Kambing namun paras air belum membimbangkan walaupun cuaca mendung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yuslina berkata, di Sungai Pendang, arus air laju tetapi masih dalam keadaan terkawal dan setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka kerana tiada mangsa yang terkesan mahu berpindah.

Beliau berkata, pemantauan dibuat dari masa ke semasa di kawasan yang berisiko banjir.

Media semalam melaporkan, hujan lebat sejak malam kelmarin menyebabkan paras air Sungai Pendang berada di paras bahaya iaitu 2.85 meter menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air.

METRO

Leave a Reply