‘Terima bantu selamatkan saya dan bayi’

Kota Kinabalu: “Terima kasih kepada pasukan bomba dan semua yang membantu menyelamatkan saya dan anak.”

Itu luahan penghargaan Rahima Ara, 39, selepas terpaksa melahirkan anak seberat 2.59 kilogram di dalam kenderaan di Jalan Lintas, di sini, Khamis lalu.

Rahima berkata, dia dan keluarga turut menzahirkan rasa penghargaan kepada semua yang mendoakan kesihatan dan keselamatan mereka selepas kejadian berkenaan tular di media sosial.



Katanya, detik cemas itu berlaku apabila kenderaan dipandu suaminya terperangkap dalam kesesakan jalan.

“Mengikut perkiraan, anak dijangka lahir 18 Jun depan dan anak ini dikatakan berada dalam keadaan songsang.

“Malah sehari sebelum itu, saya turut dipanggil ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, di sini, untuk prosedur pusing bayi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kobusak, di sini, semalam.

Rahima berkata, pada hari kejadian, selepas mandi, dia tiba-tiba terasa sakit perut dan terus meminta suami menghantarnya ke hospital.



Bagaimanapun, katanya, perjalanan ‘terganggu’ selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Suami cuba membunyikan hon untuk meminta laluan dan banyak juga kenderaan membantu namun sudah tidak sempat,” katanya.

Antara individu yang tampil membantu ketika kejadian adalah Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan.

Farhan dikatakan menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan menuju ke pejabat yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.



Menceritakan kembali kejadian ini, Farhan berkata, itu pengalaman peribadi pertama beliau untuk berdepan situasi berkenaan.

Namun katanya, pasukan bomba sememangnya dilatih untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian atau kemungkinan.

“Kita harus sedar betapa pentingnya sikap mengambil peduli dan membantu mereka yang memerlukan.

“Kesedaran ini mampu membawa impak positif dan menyelamatkan nyawa yang terbabit,” katanya.



Farhan berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada masyarakat awam yang tampil membantu ketika kejadian.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button