Belanda akhiri rekod tanpa kalah Wales
CARDIFF, United Kingdom: Wout Weghorst mengakhiri pesta Piala Dunia Wales dan menamatkan deretan 19 perlawanan tanpa kalah mereka di laman sendiri apabila Belanda menang 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA di Cardiff.
Wales akan ke Qatar pada November untuk penampilan Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 64 tahun selepas menewaskan Ukraine 1-0 pada final play-off Ahad lalu.
Bagaimanapun skuad kendalian Robert Paige, yang berdepan Amerika Syarikat, Iran dan England di peringkat kumpulan Piala Dunia, tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan A4 Liga Negara-Negara selepas kekalahan di Poland minggu lalu.
Rhys Norrington-Davies menyamakan kedudukan untuk Wales selepas jaringan Teun Koopmeiners di awal babak kedua.
Penyerang Burnley Weghorst memastikan tiga mata buat Belanda ketika permainan hanya berbaki beberapa saat untuk menamatkan rekod tanpa kalah paling panjang dalam sejarah Wales.
Buat pertama kali sejak November 2018, Wales tewas di hadapan penyokong sendiri, tetapi keghairahan terhadap kelayakan Piala Dunia dijangka mampu memadamkan kekecewaan di saingan Liga Negara-Negara itu.
“Ia perlawanan yang sukar. Kami tidak mempunyai skuad terkuat kami. Mereka adalah pasukan kelas dunia dan kami berhak menguji kemampuan kami ke atas pasukan terbaik.
“Pemain yang dimasukkan bekerja keras untuk mendapatkan gol penyamaan, tetapi dibolosi lagi. Ia sesuatu yang memberi pengajaran,” kata kapten Wales Gareth Bale.
Bagi Belanda pula, ia adalah kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan itu selepas membelasah Belgium Jumaat lalu.
Belanda, yang turut layak ke Piala Dunia, masih belum tewas dalam 11 perlawanan dan sejak Louis van Gaal membimbing pasukan buat kali ketiga pada Ogos.
AFP