Dengar suara ibu, kakak minta tolong
Tawau: Sedih namun pasrah… itu yang dirasakan oleh mangsa kebakaran Irwan Mapiasah apabila ibu dan kakaknya rentung selepas gagal diselamatkan dalam insiden kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di sini tengah malam tadi.
Irwan, 42, berkata ibunya Sadiah Jabar, 80, ditemukan dalam keadaan tertiarap di depan pintu utama manakala kakaknya Kamisah, 49, di katil sebuah bilik.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah sendiri bersama isteri serta tujuh anak berumur antara 5 hingga 15 tahun sementara ibu serta dua anak saudara dan kakak pula tinggal di sebelah rumah kami.
“Saya ketika itu sedang bermain permainan video… tiba-tiba lampu rumah berkelip-kelip, saya tanya kepada isteri dan pada waktu sama, adik yang berada di rumah sebelah berteriak meminta tolong, saya tengok melalui tingkap api sudah marak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terkejut dengan kejadian itu, Irwan mengarahkan isterinya mengejutkan anak mereka dan berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
“Saya terus berlari ke rumah ibu untuk menyelamatkannya, saya dengar suara mereka minta tolong, beberapa kali saya cuba meredah api untuk masuk ke rumah ibu tapi saya gagal, kayu jatuh dengan api kuat. Dua anak saudara saya berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Irwan yang melecur di lengan kiri ketika cuba menyelamat ahli keluarganya tetap bersyukur kerana yang masih selamat.
“Bagaimanapun, kami reda dengan kejadian ini serta menganggap ia adalah takdir dan ketentuan Ilahi,” katanya sambil menambah jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3 selepas urusan tuntutan mayat selesai.
Insiden pada kira-kira 12.30 tengah malam itu menyaksikan tiga rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi masing-masing terbakar 40 peratus dan 60 peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan Rina Jainal, yang melawat lokasi kebakaran, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan Parti Harapan Rakyat Sabah sedang meneliti bantuan untuk mereka yang terjejas.
Beliau berkata buat permulaan, parti itu menyumbangkan RM1,000 bagi membantu meringankan beban keluarga yang terlibat.
METRO