Awer Mabil dari kem pelarian ke Piala Dunia

Doha: Awer Mabil berkata, sepakan penalti penentuan yang mengesahkan kemenangan Australia adalah tanda terima kasih kepada negara itu yang menerimanya dan keluarga selepas larai dari Sudan.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan sepakan penalti keenam Australia ketika perlawanan play-off Piala Dunia menentang Peru, semalam, sebelum penjaga gol, Andrew Redmayne menyelamatkan sepakan penalti terakhir wakil Amerika Selatan itu.

Kemenangan 5-4 selepas mereka terikat 0-0 sehingga masa tambahan menyaksikan Australia layak ke Piala Dunia kelima berturut-turut dan Mabil melengkapkan perjalanan hebat daripada pelarian di kem Kenya kepada tumpuan bola sepak dunia.

“Saya tahu akan menjaringkan sepakan penalti itu. Ia satu-satunya cara untuk berterima kasih kepada Australia bagi pihak keluarga saya,” kata pemain sayap itu.

Mabil dilahirkan di kem pelarian di Kenya selepas keluarganya melarikan diri daripada konflik di Sudan, dan hanya makan sekali sehari ketika kanak-kanak dan menghabiskan masa dengan menyepak bola.

Selepas dipindahkan ke Australia pada 2006, dia mengembangkan karier bola sepaknya untuk menyertai Adelaide United sebagai pemain remaja sebelum bersama kelab Denmark, FC Midtjylland.

Dia kini dipinjamkan ke kelab Turki, Kasimpasa.

“Saya dilahirkan di pondok sangat kecil. Bilik hotel saya sekarang jauh lebih besar berbanding pondok itu dan bilik didiami keluarga saya di kem pelarian,” katanya.

“Tindakan Australia menerima kami menetap di negara itu memberikan harapan dan hidup baru kepada saya serta seluruh keluarga.

“Sebab itu, saya berterima kasih kepada Australia kerana memberikan peluang kepada saya dan keluarga untuk hidup.”

Mabil menjadi pemain utama dalam skuad bimbingan Graham Arnold dan berharap mampu kejayaannya itu memberi inspirasi kepada pelarian lain.

METRO

Leave a Reply