Terlantar sejak lahir

Kuala Berang: Seorang remaja yang mengidap Hydrocephalus atau lebihan cecair di bahagian otak hanya terlantar sejak dilahirkan.

Nursyazwana Mohd Azri, 13, dari Kampung Tok Bintang, di sini, hanya terbaring di tilam sepanjang masa berikutan kepalanya membesar.

Ibunya, Wan Nora Wan Nawi, 42, berkata, keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu tidak ubah seperti anak kecil kerana memerlukan perhatian selain perlu dipakai lampin pakai buang serta bergantung kepada susu khas.



“Kesihatan saya kerap terganggu sewaktu mengandung anak saya ini dan ketika usia kandungan cecah tujuh bulan, doktor maklumkan ada benjolan atas kepala bayi.

“Doktor memberitahu kemungkinan besar anak bakal dilahirkan ketika itu tidak sempurna dan mengalami kecacatan.

“Saya reda dan bersedia dengan sebarang kemungkinan manakala anak syurga saya ini dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu seberat 2.2 kilogram dan ditempatkan HSNZ selama tiga bulan,” katanya.

Menurutnya, selepas itu anaknya dimasukkan pula ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan sepanjang tempoh itu dia terpaksa berulang-alik ke hospital bagi melihat perkembangan anaknya.



Katanya, Nursyazwana menjalani pembedahan pertama bagi membuang cecair seperti nanah dalam kepala ketika dia masih dalam tempoh berpantang.

“Pada awal kelahiran Nursyazwana, anak saya ini masih ada suara ketika menangis namun lama-kelamaan tiada lagi kedengaran suaranya apabila menangis.

“Namun naluri seorang ibu membolehkan saya memahami apa yang dikehendaki Nursyazwana, berdasarkan pergerakan tubuhnya apabila dia lapar atau rasa tidak selesa,” katanya.

Wan Nora berkata, berat anaknya kini kira-kira 30 kilogram manakala pendapatan suami, Mohd Azri Yusof, 44, yang hanya kerja kampung tidak menentu dan kos bagi membeli susu khas, lampin pakai buang serta nestum untuk keperluan anak istimewanya itu melebihi RM600 sebulan.



Katanya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk Nursyazwana dan RM500 kepada penjaga sedikit sebanyak meringankan beban manakala anak sulung Nur Maisarah, 17, masih bersekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150041000189487 atas nama Wan Nora Wan Nawi.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button