Remaja perempuan cedera ditikam guna kunci kereta

Sungai Petani: Tidak berpuas hati berhubung isu perniagaan, seorang remaja perempuan diserang seorang wanita bersenjatakan kunci kereta dalam kejadian berhampiran gerai mainan di Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, dekat sini semalam.

Kejadian jam 6.22 petang itu menyebabkan mangsa berusia 18 tahun dan tidak bekerja itu cedera di kening kanan dipercayai akibat ditikam kunci kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa berada di gerai kakaknya sebelum diserang suspek.



“Berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka berdua sebelum dileraikan orang ramai.

“Susulan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di kening akibat terkena kunci kereta membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, suspek yang berusia 29 tahun dan bekerja sebagai operator kilang ditahan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati punca kejadian dikatakan berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan keluarga mangsa berhubung perniagaan.



“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan mangsa sudah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berhubung insiden itu yang memaparkan kejadian dua wanita berkenaan masing-masing berbaju putih dan hitam bergelut sebelum dileraikan seorang lelaki tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, kelihatan kening mangsa yang berbaju putih berlumuran darah dipercayai akibat terkena kunci kereta ketika bergelut dengan suspek berbaju hitam.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button