Ahli keluarga dakwa suspek seksa kucing

Sungai Petani: Seksa kucing akibat gangguan emosi kerana tidak bekerja. Itu alasan diberi seorang lelaki berusia 27 tahun yang ditahan polis selepas rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dia menendang dan membaling batu terhadap dua kucing di kaki lima sebuah premis di Jalan Semeling, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan jam 1.29 tengah hari di rumahnya di Kampung Pengkalan Bujang Merbok selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki jam 12.03 tengah malam tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mendakwa emosinya terganggu kerana tiada pekerjaan sehingga memaksa dia melakukan perbuatan terbabit (seksa kucing).

“Ahli keluarga suspek juga turut memberitahu yang dia sebelum ini adalah seorang pencinta kucing dan banyak memelihara haiwan terbabit di rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek akan direman di Mahkamah Majistret, di sini esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidk lebih RM100, 000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhamad Faizal Mohamed Said di talian 013-7503680.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, rakaman CCTV berdurasi 2 minit 35 saat memaparkan perbuatan seorang lelaki berpakaian serba hitam dan menaiki Perodua Bezza putih mengumpan makanan sebelum membaling batu dan menendang kucing tular di media sosial.

Perbuatan kejam lelaki itu menerima pelbagai kecaman daripada warganet yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan yang dianggap tidak waras itu.

Difahamkan, suspek pernah bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa namun dia mengalami tekanan kerana pekerjaan dilakukannya itu tidak tetap.

METRO

Leave a Reply