Malayan Tigress uji Bangladesh persediaan AFF Wanita

KUALA LUMPUR: Dua aksi persahabatan berdepan skuad wanita Bangladesh menjadi medan mencatur kesebelasan utama skuad Malayan Tigress menjelang Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Wanita 2022 di Binan City, Manila, pada 4 hingga 17 Julai ini.

Ketua jurulatihnya, Jacob Joseph berkata menerusi dua aksi persahabatan Tier 1 berkenaan masing-masing pada Khamis dan Ahad ini di Sylhet, Bangladesh, pihaknya berhasrat memperkemaskan bahagian pertahanan sebagai bekalan mengharungi cabaran di AFF.

“Sudah enam hari berlatih dan untuk perlawanaan pertama, saya mahu melihat tahap kecergasan pasukan dan melihat lebih kepada soal taktikal pada aksi kedua,” katanya menerusi video dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).



Senada dengan itu, ketua pasukan Steffi Sarge Kaur, berkata dua aksi persahabatan itu akan menjadi kayu pengukur persembahan yang akan dipamerkan skuad apabila mengharungi saingan AFF.

“Ini perlawanan persahabatan pertama dan boleh memperbaiki kelemahan serta bersedia lebih baik sebelum saingan AFF. Kami sedar bakal menghadapi saingan sengit AFF daripada Thailand, Filipina dan Australia, ” katanya.

Skuad berkenaan akan memulakan kempen AFF di Manila menentang Singapura pada 4 Julai, Indonesia (6 Julai); Filipina (8 Julai); Thailand (10 Julai) dan Australia (12 Julai) manakala aksi separuh akhir dijadualkan pada 15 Julai dan diikuti final pada 17 Julai ini.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button