Sepaktakraw Malaysia mula dihambat kontroversi

KUALA LUMPUR: Kurang lima bulan sejak ditubuhkan, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) berdepan tamparan apabila timbul spekulasi mendakwa salah satu ahli gabungannya iaitu Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) bakal meninggalkan badan induk itu.

Perkembangan itu semakin jelas apabila tiada seorang pun wakil PESTAK hadir pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan MSC, malam tadi.

Bagaimanapun, Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata beliau tidak bimbang sekiranya perkara itu berlaku memandangkan hanya mereka yang diiktiraf oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sebagai badan sukan itu di negara ini.



“Siapa pengelola sukan sepak takraw di Malaysia? Kita (MSC)…jika mereka (PESTAK) mahu keluar, nak ke mana? Nak pergi PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia)?

“Perlu diingatkan MSC dapat surat kelulusan sebagai ahli ASTAF dan ISTAF, jadi kedudukan kami ketika ini sangat kuat sedangkan PSM yang ditubuhkan berpuluh tahun disingkirkan dari dua badan induk itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat EGM , malam tadi.

Ditanya mengenai pelantikan Dr Noor Azam Samsudin sebagai Setiausaha Agung MSC yang baharu bagi menggantikan Timbalan Presiden PESTAK, Syed Hussain Syed Abu Bakar, Suhaili menjelaskan ia bukanlah sebagai isu yang berbangkit.

Beliau juga percaya Syed Hussain yang sebelum ini memegang jawatan itu secara sementara tidak berkecil hati dengan keputusan berkenaan.



“Sejak hari pertama lagi dia (Syed Hussain) tahu lantikan itu dan dia akui memang dia dilantik sementara malah dia di Kedah. Kita pula di Kuala Lumpur dan semua mesyuarat di sini, jadi sukar baginya datang melainkan pada hujung minggu,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaili, berkata EGM yang diadakan lebih menjurus kepada penambahbaikan 20 perkara yang terkandung dalam perlembagaan MSC.

Syed Hussain ketika dihubungi, berkata PESTAK tidak hadir pada EGM, malam tadi kerana tidak menerima sebarang notis daripada MSC berhubung mesyuarat berkenaan.

“Sepatutnya notis perlu diberikan 14 hari sebelum tarikh EGM diadakan. Namun, itu tidak berlaku sebaliknya kami hanya menerima pindaan masa EGM berkenaan menerusi kiriman Whatsapp.



“Selain itu, saya fikir pihak kepimpinan tidak sensitif dengan ahli gabungan memandangkan di Kedah cuti kami jatuh pada Jumaat dan Sabtu tetapi mereka adakan EGM pada Isnin malam. Situasi ini sudah pasti menyukarkan kami,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button