Kenakan tindakan undang-undang terhadap pengkhianat

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianatan yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa itu terkhilaf apabila menarik balik rayuan tuntutan ke atas Batu Puteh.

Katanya, ia bukan sahaja telah meninggalkan tanggapan yang buruk kepada negeri dan negara, malah mencatatkan detik hitam dalam sejarah negara yang berdaulat.



“Memandangkan Batu Puteh atau Pedra Branca kini memihak pada Singapura, ia akan menimbulkan pertikaian tuntutan bertindih kawasan maritim apatah lagi jarak Batuan Tengah milik Malaysia hanya sekitar satu kilometer (KM) dari Batu Puteh.

“Pertikaian itu kini jadi lebih serius apabila laporan menyatakan Singapura sudah mula menjalankan kerja penambakan di Batu Puteh sedangkan perbatasan maritim masih lagi dalam rundingan dan belum dimuktamadkan.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, tiada ruang untuk pemimpinnya mengambil ringan atau alpa dalam mempertahankan kedaulatan negara walau pun sekecil atau sekelumit manapun saiz kawasan yang menjadi rebutan, setiap inci perlu kita jaga dan pertahankan. Semoga tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.



Pada 16 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan mengingatkan kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957.

Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, baginda kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata sebagai seorang pemimpin, tidak boleh ada dendam kesumat dan iri hati sehingga menyebabkan Johor dan rakyat menjadi mangsa, malah keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap Batu Puteh dibuat juga oleh pemimpin PH.

Katanya, ini soal kedaulatan dan maruah negara malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyebut secara jelas bahawa Batu Puteh pernah menjadi milik Kesultanan Johor Lama.



“Persoalannya siapa yang menasihati kerajaan membuat keputusan yang melulu sedangkan Peguam Negara dicutikan ketika itu.

“Rakyat Malaysia terutamanya bangsa Johor mengambil berat dan pandang serius terhadap perkara itu.

Mana mungkin maruah dan kedaulatan negara ini digadaikan begitu sahaja.

“Meskipun ada yang beranggapan Batu Puteh tiada kepentingan ekonomi yang signifikan namun kita tidak boleh nafikan kepentingannya dari sudut kedudukan strategik Maritim,” katanya.



Onn Hafiz berkata, kehilangan Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat terutamanya nelayan yang mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas.

“Batu Puteh sebelum ini adalah kawasan perikanan penting bagi nelayan kita dan juga tempat mereka berteduh ketika ombak besar melanda.

“Bahkan Johor menerima laporan bahawa nelayan dihalau keluar dari kawasan berdekatan Batu Puteh oleh Pengawal Pantai Singapura,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut kepentingan strategik, walaupun saiznya sebesar padang bola 8,560 meter persegi, namun Batu Puteh terletak begitu dekat dengan Johor iaitu 14.3 km dari Tanjung Penyusup berbanding 46 km dari Singapura.



Katanya, kedudukan Batu Puteh juga terletak di laluan utama bagi kapal dagang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button