Runtuhan glasier pergunungan Alps, enam terkorban
CANAZEI: Sekurang-kurangnya enam maut manakala lapan lagi cedera selepas satu runtuhan glasier terbesar berlaku di Pergunungan Alps di Itali, semalam.
Glasier runtuh di gunung Marmolada, yang tertinggi di Gunung Dolomites di negara itu, berhampiran Punta Rocca, laluan yang biasanya diambil pendaki untuk sampai ke puncaknya.
Bencana itu berlaku sehari selepas suhu tertinggi 10 darjah Celsius direkodkan di puncak glasier.
“Salji, ais dan batu menimpa laluan masuk pada ketika terdapat beberapa pendaki dan sebahagian daripada mereka dihanyutkan bersama,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Michela Canova kepada AFP.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata, enam orang disahkan maut dan lapan cedera.
Pencarian mangsa yang terselamat dihentikan lewat semalam, namun ia akan disambung pada awal hari ini.
Sementara itu, seorang profesor sains di Universiti Roma Tre, Massimo Frezzotti berkata kepada AFP bahawa keruntuhan itu disebabkan oleh cuaca panas luar biasa yang dikaitkan dengan pemanasan global, dengan kepanasan turun 40 hingga 50 peratus ketika musim sejuk yang kering.
“Keadaan semasa glasier adalah sepadan dengan pertengahan Ogos, bukannya pada awal Julai,” katanya.
Dua daripada yang cedera telah dibawa ke hospital di Belluno, seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan serius dibawa ke Treviso, manakala lima yang lain ke Trento.
“Jumlah keseluruhan pendaki terbabit masih belum diketahui,” kata Canova.
Dia juga tidak menyatakan kewarganegaraan mangsa, tetapi media Itali melaporkan bahawa antara yang terbabit adalah warga asing.
Helikopter juga dilihat sibuk mengambil bahagian dalam operasi menyelamat awal dan memantau keadaan dari udara.
Pasukan penyelamat di wilayah Veneto berhampiran timur laut Itali berkata, mereka sudah mengerahkan semua pasukan Alpine mereka, termasuk anjing pengesan.
The collapse of the largest glacier in the Italian Alps has killed at least six people and injured eight others.
The glacier collapsed on the mountain of Marmolada, the highest in the Italian Dolomiteshttps://t.co/7z29ryxErM pic.twitter.com/AHnrBR4HD5
— AFP News Agency (@AFP) July 4, 2022
Perdana Menteri Itali Mario Draghi dalam Twitternya turut berduka cita dan menyampaikan rasa takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa.
Sementara itu, imej yang diambil dari tempat perlindungan berhampiran menunjukkan salji dan batu meluncur menuruni lereng gunung dan menyebabkan bunyi gemuruh.
Rakaman lain yang dirakam oleh pelancong pada telefon bimbit mereka menunjukkan runtuhan salji itu menghanyutkan segala-galanya di laluan.
Pasukan penyelamat gunung mengeluarkan imej yang menunjukkan penyelamat dan helikopter di tempat kejadian untuk membawa mangsa dari lembah ke perkampungan Canazei dan tugas mereka menjadi lebih berat kerana mayat terperangkap di bawah lapisan ais dan batu. AFP