Tuah suara seperti Jep Sepahtu

Kajang: “Saya sendiri tidak sedar (persamaan) dan tidak pernah terlintas meniru sesiapa,” kata pempengaruh TikTok, Fhaied Khairie atau mesra disapa Ayie.

Ayie, 28 memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai perwatakan dan suaranya yang sering disamakan dengan pelawak Jep Sepahtu.

Disebabkan itu juga, setiap video dimuat naik Ayie di TikTok mendapat perhatian hingga kini meraih lebih 160,000 pengikut.



Bercerita lanjut, Ayie berkata, dia membuka akaun TikTok pada 2019 namun baru aktif pada tahun lalu.

“Pada awalnya saya hanya stitch (respon) satu video dimuat naik oleh pengguna TikTok lain dan tak sangka pula, ia meraih tontonan ramai.

“Sejak itu juga, ramai kata suara dan ketawa saya seakan abang Jep.

“Ikutkan, saya tak sedar sebenarnya hal itu sehingga ramai memperkatakannya. Orang sudah cakap begitu, saya tak boleh nak buat apa.



“Bukan saja abang Jep malah ada juga samakan dengan Soloz (pemain profesional permainan video Mobile Legends dan penstrim) dan pelakon, Johan Ashaari. Saya okay saja kerana terpulang bagi yang anggap begitu atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Prima Saujana, di sini.

Sejak dikenali dan mempunyai pengikut ramai, Ayie mengakui menerima banyak tawaran untuk membuat ulasan produk berbayar.

Ayie bersyukur dengan peluang diberikan namun di sebalik rezeki itu, dia tetap tidak dapat lari daripada kecaman netizen setiap kali memuat naik video di TikTok cuma enggan terlalu mengendahkannya.

“Dulu, saya pernah bekerja sepenuh masa di syarikat kurier selain aktif membuat siaran langsung di aplikasi lain namun impak di TikTok amat berbeza.



“Ini kerana saya muat naik video untuk suka-suka saja dan tak sangka ia kini jadi satu kerja yang memberi pulangan.

“Apa yang saya buat itu bukan untuk diri sendiri tetapi emak dan ayah juga kerana ini masanya membalas jasa mereka,” katanya yang pernah juga menerima tawaran berlakon daripada seorang penerbit tetapi menolaknya kerana belum bersedia.

Menurut Ayie, dia berterima kasih kepada semua yang menyokongnya daripada awal hingga kini.

Ayie berkata, dia akan terus aktif di TikTok selagi diterima kerana mahu terus menghiburkan pengikutnya.



“Daripada dulu lagi saya suka menghiburkan orang dan kawan yang kenal memang tahu saya begitu.

“Saya juga tidak kisah disamakan dengan sesiapa kerana lumrah manusia pasti ada persamaan dengan satu sama lain malah saya boleh terima jika ada individu lain mempunyai suara persis Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah atau selebriti lain.

“Cuma, hairan juga apabila ada yang pertikaikan saya dan sebenarnya saya lebih bimbang penerimaan tuan punya badan saja (Jep) kerana jujurnya tiada niat meniru dia sebaliknya mahu menghiburkan saja.

“Saya pernah berjumpa dan bergambar dengan abang Jep baru-baru ini tetapi berharap dapat bertemu lagi bagi menunaikan permintaan pengikut yang mahu saya merakam video dengannya (Jep),” katanya yang pernah mencuba nasib menyertai ujibakat program Skool of Lawak dan Bintang Mencari Bintang.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button