Rumah dihanyut banjir: 3 sekeluarga masih hilang

BALING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga sekeluarga yang masih hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur di Kampung Iboi di sini, semalam diteruskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata pihaknya semalam menerima laporan daripada pengadu, Abdul Rahman Said, 71, mengatakan isteri, menantu dan anak tirinya gagal dikesan sehingga kini.

Beliau berkata, tiga mangsa itu adalah isterinya, Salmah Mat Akib, 53, menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 28, serta anak tirinya, Khairul Ikhwan Nor Azam, 14, yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.

“Polis turut menggerakkan SAR bagi mengesan ketiga-tiga mangsa dan sehingga jam 3 pagi tadi masih belum menemui sebarang petunjuk dan memulakan semula operasi sekitar jam 7 pagi ini.



“Malah, skop pencarian akan diperluaskan membabitkan beberapa tambahan agensi berkaitan. Kita masih menggerakkan usaha SAR berikutan laporan dibuat Abdul Rahman berkaitan kehilangan tiga ahli keluarganya yang dikategorikan sebagai orang hilang,” katanya ketika ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kupang awal, pagi ini.

Shamsudin berkata, berdasarkan laporan pengadu, dia menerima panggilan daripada menantunya, Nurul Anis memaklumkan berlaku kejadian banjir di rumah jiran mereka pada waktu itu.

“Ketika hendak pulang ke rumah, pengadu menerima panggilan daripada anaknya yang menetap di Pulau Pinang bahawa rumah mereka di Kampung Iboi dinaiki air.

“Namun, sebaik tiba di simpang Lata Celak didapati rumah pengadu sudah tiada dan dibawa banjir. Pengadu gagal menghubungi isteri, menantu dan anak tirinya malah mereka juga tidak ditemui sebaik dia pulang ke rumah,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker