Jambatan sementara di Lata Celak akan dibina segera

Baling: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina jambatan sementara di Lata Celak, Kampung Iboi selepas jambatan konkrit di situ runtuh dan dihanyutkan kepala air petang semalam.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan jambatan itu penting bagi memudahkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk berulang alik ke sekolah dan masjid.

“Sekolah dan masjid hanya di seberang sana dan dekat dengan rumah penduduk, sebab itu kita perlu bina jambatan sementara di sungai kampung ini.

“Kita bina jambatan sementara dahulu sebab kalau nak buat jambatan konkrit yang siap sepenuhnya memakan masa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan banjir di sekitar Kampung Iboi di sini hari ini.

Mahdzir berkata, segala bantuan berkaitan pembaikan atau pembinaan infrastruktur dan rumah yang rosak akibat bencana itu akan dikoordinasi oleh pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

“Kita bersetuju semua sekali dikoordinasi oleh ICU. KPLB mempunyai peruntukan segera untuk kerja membaik pulih kemudahan yang terjejas kerana banjir di sini, namun memerlukan penelitian terperinci sebelum meluluskan jumlah peruntukan itu,” katanya.

Beliau berkata, KPLB menerusi GiatMara akan membantu membaik pulih kira-kira 70 rumah penduduk yang rosak akibat bencana itu.

Ditanya mengenai sama ada terdapat premis KPLB seperti tabika Kemas turut terjejas dalam bencana itu, Mahdzir berkata, tiada premis KPLB terjejas namun dimaklumkan terdapat kakitangan Kemas terbabit dengan banjir berkenaan.

Kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku petang semalam itu mengorbankan tiga beranak manakala tujuh rumah musnah dihanyutkan arus deras.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker